Kes pelaburan wang haram Singapura: Lebih S$2.8 bilion aset dirampas
Bernama
Oktober 3, 2023 20:54 MYT
Oktober 3, 2023 20:54 MYT
SINGAPURA: Nilai aset yang dirampas atau dikeluarkan mengikut larangan perintah pelupusan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) berkaitan kes pengubahan wang haram baru-baru ini kini berjumlah lebih S$2.8 bilion Singapura.
Angka terbaru itu diumumkan oleh Menteri Kedua Hal Ehwal Dalam Negeri Josephine Teo dalam Kenyataan Menteri mengenai Rejim Pencegahan Pengubahan Wang Haram Singapura di Parlimen pada Selasa.
Pada 20 Sept 2023, SPF mengemas kini jumlah nilai aset yang disita atau dikeluarkan dengan perintah larangan pelupusan berjumlah lebih S$2.4 bilion.
"Sejak itu, polis telah menjalankan operasi lanjutan dan siasatan menyeluruh," katanya.
Menteri itu berkata larangan perintah pelupusan dikeluarkan terhadap 152 hartanah dan 62 kenderaan dengan nilai anggaran lebih S$1.24 bilion, selain beribu-ribu botol minuman keras dan wain.
Rampasan lain termasuk wang dalam akaun bank berjumlah lebih S$1.45 bilion, wang tunai (termasuk mata wang asing) berjumlah lebih S$76 juta, mata wang kripto lebih S$38 juta, 68 jongkong emas, 294 beg mewah, 164 jam tangan mewah dan 546 barang kemas.
"Polis masih meneruskan siasatan. Dalam siasatan lebih lanjut ini, mungkin lebih banyak tangkapan akan dibuat dan aset dirampas," katanya.
Menurut Josephine, pada 15 Ogos 2023, lebih 400 pegawai polis membuat serbuan serentak di beberapa lokasi di seluruh negara.
Sepuluh orang ditahan dan didakwa atas kesalahan, termasuk hasil daripada aktiviti jenayah pengubahan wang haram di luar negara, dan merampas aset boleh rampas mereka di Singapura.
"Ini adalah antara operasi antipengubahan wang haram terbesar di Singapura," katanya.
Josephine menerima banyak soalan yang tertumpu pada keberkesanan langkah sedia ada Singapura untuk mengesan dan menentang aktiviti pengubahan wang haram; dan sama ada langkah tambahan diperlukan bagi membendung pengubahan wang haram di Singapura.
Berdasarkan fakta kes, Josephine berkata hasil itu mungkin datang daripada aktiviti jenayah yang berlaku di luar Singapura termasuk "perjudian haram dalam talian dan pinjaman wang tanpa lesen."
Selain pengubahan wang haram, menteri itu berkata mereka didakwa atas pertuduhan pemalsuan.
"Dua daripada 10 orang didakwa atas kesalahan tambahan iaitu menentang penangkapan dan menghalang tindakan penguatkuasaan.
"Ramai lagi yang tidak ditangkap, sedang membantu siasatan dan ada yang dikehendaki polis untuk siasatan tidak berada di Singapura," katanya.
Josephine berkata: "kes ini adalah antara operasi antipengubahan wang haram terbesar di Singapura, dan mungkin juga di dunia."
"Kami menyiasat secara menyeluruh dari segi tindakan dan operasi bagi mengesan kaitannya.
"Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap mereka yang akan menggunakan Singapura sebagai tempat perlindungan untuk mencuci hasil jenayah. Kami akan bertindak terhadap mereka dan keuntungan yang diperoleh secara haram mengikut undang-undang," katanya.
Josephine berkata pada 2021, rejim antipengubahan wang haram republik itu menerima beberapa maklumat, termasuk penggunaan dokumen palsu yang disyaki dapat membuktikan sumber dana dalam akaun bank di Singapura.
"Beberapa Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) difailkan oleh institusi kewangan dan syarikat lain. Polis turut menyiasat kes itu secara berasingan," katanya.
Pada awal 2022, beliau berkata polis melancarkan siasatan risikan yang komprehensif dan terkoordinasi.
"Penyiasatan itu mengenal pasti sekumpulan individu yang dipercayai mempunyai hubungan, termasuk hubungan kekeluargaan," katanya.
-- BERNAMA