Kes mpox meningkat di beberapa negara Afrika - WHO

Bernama
September 30, 2024 23:35 MYT
WHO menyatakan bahawa Guinea melaporkan kes mpox buat kali pertama, sementara Republik Demokratik Congo adalah negara yang paling terjejas. - Gambar fail/Reuters
GENEVA: Kes mpox, yang dahulunya dikenali sebagai cacar monyet, terus meningkat di beberapa negara Afrika dan penyakit itu mula merebak ke kawasan baharu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Dalam laporan terbaharu, WHO menyatakan bahawa Guinea melaporkan kes mpox buat kali pertama, sementara Republik Demokratik Congo adalah negara yang paling terjejas.
Tahun ini, 85 peratus daripada kira-kira 6,600 kes mpox disahkan di Congo. Di seluruh Afrika, 32 pesakit dijangkiti mpox meninggal dunia, termasuk 25 di Congo.
Disebabkan kekurangan kemudahan ujian, hanya 37 peratus daripada kes yang disyaki di Congo dapat diuji, dan 55 peratus daripada ujian itu disahkan jangkitan mpox.
Walaupun negara-negara Afrika melaporkan jumlah kes yang disyaki kepada WHO, kekurangan ujian yang mencukupi bermakna angka terbabit mungkin tidak tepat.
Jumlah kes yang disyaki di seluruh Afrika meningkat sekitar tujuh peratus kepada 31,500 dalam tempoh seminggu sehingga 22 Sept.
Negara jiran Burundi juga terjejas dengan ketara. Sejak wabakitu dikesan pada Julai, 1,879 kes disyaki dilaporkan, dengan 80 peratus daripadanya berlaku sejak 12 Ogos.
Burundi melakukan lebih banyak ujian berbanding Congo, dengan sekitar 93 peratus kes yang disyaki diuji, dan 40 peratus disahkan sebagai mpox.
Sekitar satu pertiga daripada mereka yang terjejas adalah kanak-kanak di bawah umur lima tahun.
-- BERNAMA
#WHO #mpox #cacar monyet #Kanak-kanak
;