Kes mayat dikerat dua di Singapura, dua warga Pakistan didakwa
Astro Awani
Jun 14, 2014 12:52 MYT
Jun 14, 2014 12:52 MYT
Dua warga Pakistan dihadapkan ke mahkamah di Singapura atas tuduhan membunuh bersabit dengan kes penemuan sebuah beg berisi bahagian atas badan seorang manusia di Syed Alwi Road, lapor The Straits Times.
Dua lelaki itu, Ramzan Rizwan, 25, dan Rasheed Muhammad, 43, dituduh membunuh rakan senegara, Muhammad Noor, 59, antara pukul 12.01 pagi 10 Jun hingga 6.04 petang 11 Jun. Kejadian didakwa berlaku di sebuah bilik di Rowell Road, dipercayai tempat ketiga-tiga mereka menyewa.
Dua tertuduh berkenaan ditahan pada Khamis lepas tidak jauh dari tempat beg berisi mayat dikerat dua itu ditemui tidak sampai 24 jam sebelumnya. Polis kemudian menemui kaki mangsa di kawasan Jalan Kubor.
Kedua-dua tertuduh akan ditahan reman untuk siasatan lanjut. Kes mereka akan disebut semula pada 20 Jun ini.