Kes mati bunuh diri di Jepun bulan lalu mengatasi jumlah kematian sepanjang tempoh COVID-19
Agensi
November 29, 2020 19:55 MYT
November 29, 2020 19:55 MYT
TOKYO: Angka kematian akibat bunuh diri di Jepun pada bulan Oktober tahun ini lebih tinggi daripada angka korban akibat COVID-19 di negara itu sepanjang tahun ini.
Mengikut statistik kerajaan, seramai 2,153 individu maut bunuh diri pada bulan Oktober.
Angka korban akibat COVID-19 di Jepun pula ialah 2,087, setakat Jumaat.
Jepun adalah salah sebuah negara yang mendedahkan data bunuh diri tepat pada masanya.
Data dari Jepun dapat membantu negara lain memantau kesan ancaman pandemik terhadap kesihatan mental dan ke atas golongan yang paling berisiko.
"Kami tidak melaksanakan perintah berkurung dan kesan COVID-19 sangat minimum jika dibandingkan dengan negara-negara lain.
"Tetapi jumlah kes bunuh diri mencatatkan peningkatan ketara," kata Michiko Ueda, seorang profesor di Universiti Waseda di Tokyo.
Kata Ueda, berdasarkan perkembangan di Jepun, ada kemungkinan terdapat peningkatan jumlah bunuh diri di negara lain juga.
Jepun telah sekian lama bertarung dengan isu bunuh diri dan merupakan salah satu negara dengan kadar bunuh diri tertinggi di dunia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pada tahun 2016, Jepun mencatat angka kematian bunuh diri sebanyak 18.5 bagi setiap 100,000 orang.
Tetapi sejak 10 tahun lalu, jumlah bunuh diri mula menunjukkan angka penurunan, dengan statistik pada tahun lalu, jumlah bunuh diri ialah kira-kira 20,000 iaitu jumlah terendah dicatatkan sejak 1978.
Kehadiran pandemik dilihat telah mengubah trend tersebut, dan peningkatan kes bunuh diri secara tidak langsung memberi kesan terhadap golongan wanita.
Terdapat beberapa sebab yang dipercayai menyokong data tersebut. Wanita di Jepun membentuk peratusan lebih besar dalam angka tenaga kerja separuh masa di sektor perhotelan, perkhidmatan makanan dan indutri runcit - yang malangnya, berdepan dengan masalah pemberhentian kerja.
#Jepun
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#COVID-19
#bunuh diri
#kesihatan
#WHO
#maut
#jumlah kematian
#pandemik