Kes mahkamah Donald Trump bermula, berpotensi ancam empayar perniagaan

Agensi
Oktober 2, 2023 06:30 MYT
Kehadiran Donald Trump (tengah) tidak diperlukan pada hari pertama perbicaraan di New York, namun, beliau memilih untuk hadir dan duduk bersama barisan peguamnya. - Gambar AP
NEW YORK: Kemarahan Donald Trump tidak lagi mampu disembunyikan apabila beliau meluahkannya kepada hakim dan Peguam Negara pada hari pertama perbicaraan kes sivil di sini pada Isnin yang sekali gus boleh menyebabkan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) itu dihalang daripada menjalankan perniagaan di New York.
Trump, 77, yang sedang menghadapi beberapa tindakan undang-undang dalam masa sama mengutuk kes penipuan perniagaan yang didakwa ke atasnya dan menyifatkan pendakwaan itu sebagai "pura-pura" serta bertujuan untuk merosakkan usahanya untuk merebut semula jawatan nombor satu di White House tahun depan.
"(Pendakwaan) ini ada kaitan dengan campur tangan dalam pilihan raya, dengan jelas dan mudah," kata Trump sebaik tiba pada hari pertama perbicaraan yang dijangka berlangsung selama tiga bulan.
"Tujuan kita berada di sini adalah usaha untuk menggagalkan usaha saya dalam pilihan raya (presiden).”
Hakim New York, Arthur Engoron telah mendapati Trump dan anak-anaknya Eric dan Don Jr bertanggungjawab atas penipuan menyediakan penyata kewangan palsu selama bertahun-tahun.
Pada minggu lalu, Engoron memberikan perintah untuk ringkasan keputusan Peguam Negara Letitia James, yang mendapati Trump, anak lelaki beliau dan yang lain, "bertanggungjawab atas pelanggaran berterusan" undang-undang negeri New York.
Justeru, James, kini sedang berusaha untuk mengenakan AS$250 juta sebagai penalti dan penyingkiran Trump dan anak-anaknya daripada pengurusan empayar keluarga.
"Kebenaran akan terbukti," kata James kepada wartawan.
"Tidak kira sehebat mana anda, tidak kira berapa banyak wang yang anda fikirkan anda miliki, tidak ada
sesiapa yang berada di atas undang-undang."
Kehadiran Trump tidak diperlukan pada hari pertama perbicaraan, namun, beliau memilih untuk hadir dan duduk bersama barisan peguamnya.
"Ini (pendakwaan) satu penipuan… pura-pura," katanya kepada wartawan sebelum masuk ke mahkamah Manhattan.
"Penyata kewangan saya sangat hebat."
Semasa mahkamah berhenti rehat, Trump jelas memperlihatkan kemarahannya dan menyifatkan "perbicaraan itu sangat memalukan oleh seorang Peguam Negara yang rasuah."
Berikutan tiada juri dalam perbicaraan tersebut, ini bermakna nasib Trump sepenuhnya berada dalam tangan Engoron - yang tidak menghalang bekas Presiden AS itu daripada mengecamnya sebagai hakim Demokrat "yang liar" yang sepatutnya "dihentikan haknya."
Kes ini merupakan yang pertama daripada beberapa pendakwaan lain yang akan dihadapi Trump.
Pada 4 Mac 2024, beliau dijangka hadir untuk menghadapi perbicaraan di hadapan seorang Hakim Persekutuan di Washington atas tuduhan cuba menggulingkan keputusan Pilihan Raya Presiden 2020 yang dimenangi oleh pemimpin, Demokrat, Joe Biden. - Agensi
#Donald Trump #kes penipuan Donald Trump #empayar perniagaan Trump
;