Kes jangkitan virus Hepatitis E tikus kepada manusia pertama di dunia dikesan
Astro Awani
September 28, 2018 17:54 MYT
September 28, 2018 17:54 MYT
Seorang lelaki warga Hong Kong dikesan menghidap virus Hepatitis E (HEV) tikus yang juga merupakan kes pertama di dunia yang menjangkiti manusia, menurut penyelidikan terbaharu dari salah sebuah universiti terkemuka di bandar raya itu, lapor AFP.
Sebelum ini tidak ada bukti penyakit itu boleh berjangkit dari tikus ke manusia, jelas Universiti Hong Kong (HKU) pada Jumaat yang juga mengatakan penemuan itu adalah amaran mengenai 'kepentingan menjaga kesihatan awam'.
"Kajian ini membuktikan untuk kali pertama di dunia bahawa HEV tikus dapat menjangkiti manusia lantas menyebabkan kesan klinikal," tambah universiti tersebut.
HEV tikus sangat berkait rapat dengan jenis-jenis virus hepatitis E manusia, kata HKU.
Penyakit ini ditemui pada lelaki berusia 56 tahun yang kerap menunjukkan hasil ujian fungsi hati yang tidak normal selepas membuat pembedahan pemindahan hati.
Mangsa mendapat penyakit itu melalui makanan yang dijangkiti kotoran tikus, kata para penyelidik.
Hepatitis E versi manusia adalah penyakit hati yang telah menjejaskan 20 juta orang di seluruh dunia setiap tahun, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ia biasanya disebarkan melalui air minuman yang tercemar.
Tanda-tanda Hepatitis E termasuk demam, muntah dan demam kuning, dan dalam sesetengah kes ia boleh menyebabkan berlakunya kegagalan fungsi hati.
Masalah tikus di Hong Kong telah meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini kerana cuaca panas dan lembap berpanjangan.