Kes George Floyd: Derek Chauvin dijangka tukar pengakuan kepada bersalah

Astro Awani
Disember 14, 2021 09:57 MYT
Derek Chauvin ketika bercakap di hadapan Hakim Peter Cahill di Mahkamah Daerah Hennepin di Minneapolis, 25 Jun 2021. (Foto AP)
BEKAS pegawai polis Minneapolis Derek Chauvin dijangka mengaku bersalah dalam kes hak sivil yang dikaitkan dengan kematian George Floyd pada perbicaraan Mahkamah Daerah Amerika Syarikat di Minnesota, ditetapkan pada Rabu.
Mahkamah Persekutuan pada Isnin menetapkan perbicaraan pertukaran pengakuan, sekali gus memberikan petunjuk Chauvin akan menukar pengakuannya kepada bersalah.
Chauvin, bersama tiga bekas pegawai polis Minneapolis yang lain, mengaku tidak bersalah pada September lalu atas tuduhan melanggar hak sivil Floyd semasa penahanan yang membawa maut dalam kejadian pada 25 Mei 2020.
Peguam Chauvin, Eric Nelson tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.
Di mahkamah negeri Jun lalu, Chauvin dijatuhi hukuman penjara 28 bulan kerana membunuh Floyd, seorang lelaki kulit hitam.
Chauvin menekan leher Floyd menggunakan lutut selama hampir sembilan minit.
Keputusan itu dilihat secara meluas sebagai teguran penting terhadap penggunaan pasukan polis yang tidak seimbang terhadap warga kulit hitam Amerika.
Chauvin didakwa secara berasingan di Mahkamah Persekutuan kerana merampas hak Floyd dengan gagal memberikannya rawatan perubatan.
Chauvin juga didakwa kerana melanggar hak Floyd untuk bebas daripada penahanan yang tidak munasabah dan kekerasan yang tidak munasabah oleh pegawai polis.
#George Floyd #tukar pengakuan bersalah #Polis Minneapolis #Mahkamah Persekutuan
;