Kes Floyd: Bekas polis Derek Chauvin dihukum penjara sehingga 40 tahun
Astro Awani
April 20, 2021 06:32 MYT
April 20, 2021 06:32 MYT
BEKAS anggota polis, Derek Chauvin pada Selasa disabitkan kesalahan membunuh dan menyebabkan kematian lelaki kulit hitam, George Floyd.
Juri Mahkamah Minneapolis sebulat suara memutuskan Chauvin bersalah atas semua tuduhan pembunuhan darjah kedua dan ketiga, membawa kepada hukuman penjara sehingga 40 tahun.
Selain Chauvin, tiga lagi bekas pegawai polis masih dibicarakan atas tuduhan bersubahat membunuh.
Dalam kejadian 25 Mei tahun lalu, Floyd, yang ditahan polis, maut setelah Chauvin menekan lutut ke lehernya selama kira-kira sembilan minit.
Rakaman video Chauvin tular dan mencetus protes besar-besaran di Minneapolis.
Ia kemudian merebak ke bandar-bandar utama di negeri lain di Amerika Syarikat.
Keluarga Floyd memfailkan saman Julai tahun lepas terhadap bandar raya itu, Chauvin dan tiga pegawai lain yang dipecat selepas didakwa menyebabkan kematiannya.
Sementara itu, Peguam Negara Minnesota, Keith Ellison memuji tindakan orang ramai yang merakam detik-detik akhir kematian Floyd dan menjadi saksi perbicaraan kes kontroversi itu.
Katanya, ia menjadi bahan bukti penting sehingga membawa kepada keadilan ditegakkan.
"Kita perlukan keadilan sebenar. Ia bukan sekadar kes biasa, ia satu transformasi sosial yang menyatakan tiada siapa boleh terlepas tindakan undang-undang dan tiada siapa boleh mengatasi undang-undang.
"Keputusan ini mengingatkan kita yang kita mesti melakukan satu perubahan yang sistemik dalam masyarakat," katanya.
Dalam perkembangan sama, ahli keluarga Floyd, menyambut keputusan juri itu dengan penuh kegembiraan sambil mengakui kebenaran akhirnya berpihak kepada mereka.
Keluarga Floyd berhimpun di kediaman mereka di Houston, Texas semasa mendapat berita gembira itu.
Salah seorang adik-beradik Floyd terharu dengan keputusan sebulat suara juri di Minneapolis itu dan berkata, walaupun George sudah tiada, keputusan itu adalah kemenangan untuk mendiang.
#Amerika Syarikat
#mahkamah
#polis
#video
#maut
#saman
#George Floyd
#Derek Chauvin
#protes
#undang-undang
#penjara
#Minneapolis
#Pembunuhan
#bunuh
#keluarga
#Peguam Negara
#Minnesota
#Keith Ellison