Kes disahkan koronavirus di Thailand bertambah satu lagi, jumlahnya terkini 33
Bernama
Februari 11, 2020 07:48 MYT
Februari 11, 2020 07:48 MYT
Thailand pada Selasa mengesahkan satu kes baharu novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara itu, menjadikan jumlahnya kini 33 kes yang disahkan.
Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Thailand Suwannachai Wattanayingcharoenchai berkata kes positif terbaharu melibatkan pelancong berumur 54 tahun dari Wuhan yang melawat Thailand, sebelum China mengenakan sekatan pergerakan keluar masuk di beberapa bandarnya akibat wabak koronavirus itu.
"Pesakit itu menunjukkan tanda-tanda jangkitan koronavirus dan dimasukkan ke Bamrasnaradura Infectious Disease Institute di Wilayah Nonthaburi pada 6 Feb.
"Keadaannya semakin bertambah baik kerana para doktor mengesannya di peringkat awal lagi," katanya dalam taklimat harian berkaitan jangkitan itu di sini pada Selasa.
Dalam maklumat terkini, Suwannachai berkata 10 kes disahkan telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital.
Sementara itu Perdana Menteri Jen Prayuth Chan o-cha berkata Thailand tidak membenarkan kapal persiaran MS Westerdam berlabuh di pelabuhannya, namun atas dasar kemanusiaan, pihaknya sedia menghulur bekalan makanan dan bahan api sekiranya diminta.
"Harap maklum... kami terpaksa mengambil pelbagai langkah berwaspada dan mengawal penularan koronavirus," katanya selepas mesyuarat kabinet di sini hari ini.
Thailand merupakan negara terkini yang menghalang kapal itu daripada singgah berlabuh di kawasannya.
Kapal persiaran yang membawa 1,455 penumpang dan 802 anak kapal itu dijadual berlabuh di Yokohama, Jepun pada 15 Feb, namun sehingga kini ia masih belum mendapat kebenaran untuk berbuat demikian.
-- BERNAMA
#2019-nCoV
#Bamrasnaradura Infectious Disease Institute
#COVID-19
#Doktor
#jangkitan
#kapal persiaran
#koronavirus
#MS Westerdam
#Nonthaburi
#novel koronavirus
#Prayuth Chan o-cha
#Suwannachai Wattanayingcharoenchai
#Thailand
#wabak
#Yokohama