Kes COVID-19 kembali meningkat, Thailand pertingkat saringan besar-besaran di Phuket
Bernama
September 20, 2021 21:24 MYT
September 20, 2021 21:24 MYT
BANGKOK: Pihak berkuasa kesihatan Thailand akan meningkatkan ujian saringan besar-besaran di Phuket minggu ini dalam usaha untuk mengurangkan jangkitan COVID-19 yang meningkat di pulau peranginan itu.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam Dr Yongyos Thammawut berkata kementerian akan menghantar sembilan pasukan Tindak Balas Komprehensif COVID-19 (CCR) untuk melakukan pengesanan kes aktif sepanjang tiga hari, mulai Selasa.
"Pasukan ini akan menjalankan ujian terhadap 25,000 orang yang tinggal di pulau itu.
"Pesakit COVID-19 tanpa gejala akan menjalani kuarantin di rumah sementara pesakit bergejala akan dirawat di hospital," katanya.
Phuket telah mencatatkan lebih 200 kes COVID-19 sehari selama lebih seminggu.
Thailand melancarkan "Phuket Sandbox" mulai 1 Julai, dengan pelancong antarabangsa yang lengkap divaksin dibenarkan mengunjungi Phuket tertakluk kepada beberapa syarat termasuk tidak perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari.
Sejak membuka pintu kepada pengunjung dan pada 19 September, pulau ini menyambut sejumlah 34,707 pelancong dengan 528,365 tempahan bilik sejak Julai.
Data menunjukkan sejumlah 98 orang yang mengikuti inisiatif itu telah disahkan positif.
Sementara itu, Thailand merancang untuk menyuntik 108,319 pelajar berusia 10 hingga 18 tahun dari 132 sekolah di bawah inisiatif "VACC 2 School".
Kempen anjuran Akademi Diraja Chulabhorn (CRA) itu akan memberi suntikan vaksin COVID-19 Sinopharm kepada pelajar, untuk membolehkan sesi persekolahan bersemuka yang dijadual pada November dimulakan.
Setiausaha Agung CRA Dr. Nithi Mahanonda berkata, kempen itu adalah projek penyelidikan penggunaan vaksin China untuk mereka berusia di bawah 18 tahun.
"Ibu bapa mesti memberikan persetujuan untuk memvaksinasi anak-anak mereka," katanya seperti dipetik Thai PBS.
Dalam tempoh 24 jam lalu, 12,709 kes baharu COVID-19 dan 106 kematian dicatatkan menjadikan jumlah keseluruhan kes di Thailand setakat ini sebanyak 1,489,186 dan korban seramai 15,469 orang.
-- BERNAMA