Kes campak global meningkat 50 peratus, pengaruh antivaksin antara punca

Agensi
Mac 1, 2019 11:53 MYT
Menurut UNICEF, 98 negara merekodkan peningkatan kes campak pada 2018 berbanding 2017. -Gambar fail
JUMLAH kes campak global meningkat 50 peratus pada 2018, membabitkan kematian 136,000 orang, menurut data Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO).
Dilaporkan 10 negara bertanggungjawab terhadap satu pertiga peningkatan penyakit campak peringkat global tahun lepas, kata Dana Pendidikan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF).
Lebih mengejutkan, negara maju seperti Perancis turut menjadi penyumbang utama.
Menurut UNICEF, 98 negara merekodkan peningkatan kes campak pada 2018 berbanding 2017.
Punca utama yang dikenal pasti ialah konflik, terlalu berpuas hati dengan pencapaian tahap kesihatan, dan peningkatan golongan antivaksin, sekali gus memusnahkan segala usaha membanteras penyakit itu sejak berdekad lamanya.
“Ia harus jadi kesedaran. Kita mempunyai vaksin yang selamat, efektif dan tidak mahal bagi melawan penyakit berjangkit.
“Vaksin ini berjaya menyelamatkan berjuta nyawa setiap tahun sejak dua dekad lalu,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Henrietta Fore.
“Kesemua kes ini tidak berlaku dalam tempoh satu malam. Wabak yang serius ini dapat disaksikan pada 2018, dan kurangnya tindakan pada hari ini akan membawa kepada kesan buruk kepada kanak-kanak masa hadapan,” katanya.
Campak lebih mudah berjangkit berbanding Tibi dan Ebola, namun ia boleh dicegah melalui vaksin yang murah.
Antara negara yang merekodkan peningkatan tinggi dalam perbanding tahun ke tahun termasuk Ukraine, Filipina dan Brazil.
Ukraine menyaksikan 35,120 kes, meningkat hampir 30,000 berbanding 2017.
Brazil pula menyaksikan 10,262 kes dilaporkan selepas merekodkan kosong kes tahun sebelumnya.
Namun badan itu gusar kerana negara yang tidak mempunyai konflik seperti Perancis menyaksikan peningkatan kes sebanyak 2,269.
Negara lain yang turut disenaraikan oleh UNICEF termasuk Yaman, Venezuela, Serbia, Madagascar, Sudan dan Thailand.
Kemunculan semula campak di kebanyakan negara dikaitkan dengan fahaman tidak berasas bahawa vaksin campak menyumbang kepada kes autisme.
Lebih menyedihkan, menurut UNICEF, gelombang antivaksin itu menjadi tular melalui kempen di sosial media.
WHO pada Januari menyenaraikan "keengganan vaksin” sebagai antara 10 perkara yang mengancam penjagaan kesihatan global bagi tahun 2019.
#Anti vaksin #Anti vax #Brazil #campak #difteria #Ebola #Kanak-kanak #measles #Penyakit campak #suntikan vaksin #Thailand #vaksin punca autism #Venezuela #WHO
;