Kes berkemungkinan COVID-19 kembali meningkat di Korea Utara

Agensi
Mei 30, 2022 20:30 MYT
Sejak wabak Omicron dikesan pada 12 Mei, negara itu hanya mengumumkan jumlah pesakit yang mengalami gejala demam setiap hari. - AP
PYONGYANG: Korea Utara melaporkan sedikit peningkatan dalam kes yang disyaki COVID-19 pada Isnin, ketika media melaporkan sekatan pergerakan yang dikenakan di ibu negara, Pyongyang, mungkin telah ditarik balik.
Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) berkata sejumlah 100,710 individu menunjukkan simptom demam dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Ini kali pertama jumlah itu melepasi paras 100,000 dalam tempoh tiga hari, menjadikan jumlah kes yang dilaporkan sejak akhir April kepada lebih 3.5 juta..
Angka kematian rasmi kekal 70 orang.
Korea Utara sedang bergelut dengan gelombang COVID-19 yang belum pernah berlaku sebelum ini dan mengenakan perintah berkurung di seluruh negara bulan ini, meningkatkan kebimbangan mengenai kekurangan vaksin, bekalan perubatan dan kekurangan makanan.
Sejak wabak Omicron dikesan pada 12 Mei, negara itu hanya mengumumkan jumlah pesakit yang mengalami gejala demam setiap hari, tanpa mengesahkan sama ada kes-kes berkenaan merupakan kes COVID-19.
Ia dikatakan berpunca daripada kekurangan kit ujian untuk mengesahkan kes COVID-19 dalam jumlah yang besar.
Jumlah demam harian memuncak pada lebih 392,000 pada 15 Mei namun mula mencatat penurunan selepas itu.
#Korea Utara #COVID-19 #Kes Yang Disyaki #perintah berkurung #demam #vaksin #Omicron
;