Kes Aung San Suu Kyi: Tiada siapa boleh atasi undang-undang - Junta Myanmar
Astro Awani
Disember 8, 2021 08:31 MYT
Disember 8, 2021 08:31 MYT
NAYPYIDAW: Hukuman penjara ke atas bekas pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, 76, membuktikan tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang.
Kenyataan ini dibuat pegawai kanan junta tentera Myanmar yang turut mendedahkan pemerintah negara itu telah meringankan hukuman Suu Kyi atas alasan kemanusiaan.
Pemenang Hadiah Nobel itu dijatuhi hukuman penjara empat tahun kerana menghasut dan melanggar peraturan berkaitan COVID-19.
Hukuman itu bagaimanapun dikurangkan kepada tempoh dua tahun tahanan rumah di lokasi semasanya yang tidak didedahkan.
Hukuman ini adalah yang pertama daripada puluhan kes yang dikemukakan terhadap Suu Kyi.
Suu Kyi bagaimanapun menafikan semua pertuduhan.
Sementara itu, Menteri Penerangan Maung Maung Ohn mempertahankan sistem kehakiman Myanmar sebagai tidak berat sebelah.
Beliau juga memberitahu persiapan sedang dijalankan untuk pilihan raya diadakan sebelum Ogos 2023.
Namun beliau enggan mengesahkan sama ada parti liga kebangsaan untuk demokrasi (NLD) pimpinan Suu Kyi akan dibenarkan bertanding.
Myanmar berada dalam krisis sejak tentera merampas kuasa 1 Februari lalu.
Susulan itu junta menahan Suu Kyi dan sebahagian besar anggota Kabinetnya.