Kes anjing hilang: Bekas bintang Liverpool diarah bayar wang ganjaran
Agensi
Disember 25, 2021 06:06 MYT
Disember 25, 2021 06:06 MYT
BEKAS penyerang Liverpool, Daniel Sturridge telah diarah membayar £22,400 (RM125,811) kepada seorang lelaki yang menemui anjingnya yang hilang, dua tahun lepas.
Anjing Pomeranian bernama Lucci itu dicuri dari sebuah rumah di Los Angeles pada 2019 dan Sturridge menawarkan ganjaran kepada sesiapa sahaja yang berjaya menemuinya.
Foster Washington berkata dia merupakan individu yang menyatukan semula Sturridge dan anjing kesayangannya, tetapi wang ganjaran yang dijanjikan tidak diberikan.
Dokumen mahkamah yang diperoleh menunjukkan bahawa Sturridge tidak menjawab aduan yang dibuat ke atasnya.
Hakim Curtis Kin memerintahkan Sturridge perlu membayar wang ganjaran berkenaan, selain kos sebanyak $85.
"Saya teruja dan tidak percaya ia sudah berakhir. Semasa menemui anjing itu, saya fikir hidup saya akan menjadi lebih baik," kata Washington.
Pada 2019, bekas pemain antarabangsa England itu berkongsi gambar kerosakan rumahnya di West Hollywood dan imej CCTV tiga lelaki bagi membolehkan orang ramai membantunya mencari Lucci.
“Kami akan berikan bayaran kepada mereka yang menemui Lucci, tidak kisah berapa pun jumlahnya," tulis Sturridge.
Namun dalam kemas kini terbaharu di Twitter, Sturridge yang kini bermain untuk Perth Glory dalam Liga A Australia memaklumkan dia sudah pun membayar wang ganjaran itu.
"Saya bertemu dengan anak muda yang menemui anjing saya dan memberinya ganjaran. Saya mengambil gambar dengannya dan kami mempunyai bukti video dan audio tentang apa yang berlaku semasa Lucci dikembalikan.
"Sesetengah orang memang suka mengambil kesempatan demi kepentingan peribadi mereka sendiri. Terima kasih kepada anak muda itu sekali lagi," tulisnya.