Kes 39 mayat dalam kontena: Polis Britain rayu suspek serah diri
Asyraf Roslan
November 1, 2019 21:10 MYT
November 1, 2019 21:10 MYT
Polis Britain mendesak dua suspek yang terlibat dalam kematian 39 orang yang ditemui mati dalam sebuah trak minggu lalu, supaya tampil menyerah diri.
Detektif Polis Essex, Daniel Stoten dalam satu sidang media telah meminta suspek yang dipercayai dua beradik itu, untuk menyerahkan diri mereka kepada pihak berkuasa.
Dua beradik yang dikenali sebagai Ronan dan Christoper Hughes diminta tampil bagi membantu siasatan.
"Saya ingin membuat rayuan kepada Ronan dan Christoper, serahkan diri anda kepada pihak polis di Ireland Utara.
"Kami memerlukan kedua-dua anda untuk tampil dan membantu siasatan.
"Adalah penting untuk kami bercakap dengan Ronan dan Christopher, dan lebih cepat kita dapat lakukannya, lebih cepat kita boleh teruskan dengan siasatan," kata Stoten dalam satu sidang media pada Jumaat.
Pada masa sama, pihak polis memaklumkan bahawa mereka sudah bercakap dengan Ronan melalui telefon namun mereka tetap memerlukan mereka berdua untuk tampil bersemuka.
Buat masa ini, pihak polis masih belum boleh mengesahkan identiti mangsa namun dipercayai kebanyakan mangsa dipercayai dari negara Vietnam.