Kerusi roda, tesis Stephen Hawking capai nilai lelongan hingga 1 juta Pound
Agensi
November 9, 2018 19:11 MYT
November 9, 2018 19:11 MYT
Sebuah kerusi roda bermotor yang pernah digunakan ahli fizik British, mendiang Stephen Hawking dilelong pada Khamis pada harga kira-kira 300,000 Pound (RM1.63 juta).
Sementara itu, sebuah tesis milik mendiang juga berjaya dilelong hampir dua kali ganda daripada harga kerusi roda itu, dan semuanya dimanfaatkan untuk tujuan kebajikan.
Masyhur kerana kajian meneroka asal-usul alam semesta, Hawking meninggal dunia pada Mac pada usia 76 tahun selepas menghabiskan kebanyakan masanya di atas kerusi roda dan dalam masa yang sama melawan penyakit saraf motor.
Selain itu, barangan miliknya seperti esei, pingat, anugerah dan salinan buku Brief History of Time yang ditandatangani dengan cap ibu jarinya turut dijual atas talian pada Khamis, di samping item lain seperti surat dan manuskrip milik Isaac Newton, Charles Darwin dan Albert Einstein.
Tesis 117 muka surat Hawking yang bertajuk 'Properties of expanding universes' dari tahun 1965 berjaya dijual pada harga 584,750 Pound (RM3.18 juta), jauh lebih tinggi daripada anggaran awal iaitu 150,000 Pound.
Agensi lelong Christies menjalankan acara lelongan selama sembilan hari bertemakan ‘On the Shoulders of Giants’ untuk mengumpul dana bagi Yayasan Stephen Hawking Foundation untuk Persatuan Penyakit Saraf Motor.
Ia juga menawarkan para peminat ahli fizik itu peluang untuk memiliki beberapa barangan peribadi mendiang.