Kerosakan pada bilah kipas enjin pesawat United Airlines konsisten dengan kelesuan logam - NTSB

Reuters
Februari 23, 2021 10:47 MYT
Pesawat UA328 United Airlines bersama 231 penumpang dan 10 anak kapal kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa Denver selepas kebakaran tercetus pada enjin kanan pada 20 Feb 2021. - REUTERS
WASHINGTON: Kerosakan pada bilah kipas di bahagian enjin Pratt & Whitney PW-400 melibatkan pesawat United Airlines Boeing 777-200 konsisten dengan kelesuan logam, menurut laporan siasatan awal.
Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Amerika Syarikat (NTSB), Robert Sumwalt memaklumkan, siasatan masih dijalankan bagi menentukan jika kegagalan tersebut sama seperti yang berlaku pada sebuah lagi pesawat United pada Februari 2018.
Dalam insiden berlainan pada Disember 2020, Badan Keselamatan Pengangkutan Jepun melaporkan dua buah kipas dalam enjin pesawat Japan Airlines 777 didapati mengalami kerosakan, satu daripadanya menunjukkan kesan kelesuan logam.
Bilah kipas pesawat United Airlines itu akan diteliti pada Selasa di makmal Pratt & Whitney di bawah pengawasan pasukan penyiasat NTSB.
"Apa yang penting adalah untuk memahami segala fakta, keadaan dan situasi yang berlaku ketika insiden ini sebelum kami boleh bandingkan dengan kejadian lain," kata Sumwalt.
Pihak Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) akan mengeluarkan arahan kecemasan mengenai kelayakan pesawat jenis itu untuk terbang yang akan mengandungi pemeriksaan terperinci ke atas bilah kipas bahagian enjin.
Pada bulan Mac 2019, badan berkenaan telah mengarahkan pemeriksaan dilakukan pada bilah kipas enjin pada setiap 6,500 kitaran.
Sumwalt berkata insiden yang melibatkan pesawat United Airlines tidak disifatkan sebagai kerosakan ejin yang tidak terkawal kerana kesemua komponen berada pada tempat yang sepatutnya ketika pesawat itu sedang berlepas.
Terdapat juga kerosakan kecil pada badan pesawat terbabit namun tiada kerosakan struktur dikesan, katanya.
NTSB juga akan menyiasat kenapa penutup bahagian enjin pesawat tersebut tercabut dan bagaimana berlakunya kebakaran selepas injap minyak kepada enjin terbabit telah ditutup, tambah Sumwalt.
#United Airlines #bilah kipas enjin #Pratt and Whitney #NTSB
;