Kerosakan gempa bumi di Pakistan masih terkawal
Sathesh Raj
Oktober 27, 2015 23:14 MYT
Oktober 27, 2015 23:14 MYT
Gempa bumi yang melanda Pakistan masih boleh diurus berdasarkan sumber dalaman sedia ada di negara itu.
Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Malaysia, Syed Hassan Raza berkata, ia merupakan antara faktor utama mereka masih belum memerlukan sebarang bantuan dari negara luar.
Menurut Syed Hassan rakyat mereka banyak membantu dalam proses pengurusan situasi selepas bencana termasuk gempa bumi.
"Sudah tentu kerajaan Pakistan akan mengurus berdasarkan sumber dalaman yang sedia ada. Malah, rakyat Pakistan juga sangat murah hati, mereka yang menjadi mangsa gempa sebelum ini juga turut menghulurkan bantuan. Ramai telah menyumbangkan dengan murah hati" katanya.
Tambah beliau, bantuan luar dirasakan masih belum diperlukan kerana kerosakan akibat gempa masih dalam kawalan.
Ia juga tidak seteruk seperti gempa bumi yang melanda negara itu pada 2005.
"Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah dalam situasi ini ialah penilaian daripada aspek ganti rugi dan selain kehilangan 75,000 orang pada tahun 2005, terdapat kerosakan infrastruktur amat besar di Pakistan ketika itu. Kami berharap ia tidak menjadi seperti masa itu," kata Syed Hassan yang ditemui di Suruhanjaya Tinggi Pakistan di sini.
Gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter yang melanda Asia Selatan pada Isnin meragut 300 nyawa, dan 200 daripadanya adalah di Pakistan.
Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat gempa bumi itu berpusat berhampiran Jurm di timur laut Afghanistan, 250 kilometer (160 batu) dari Kabul dan pada kedalaman 213.5 kilometer.