Kerosakan akibat Taufan Helene meluas, musnahkan penempatan
Agensi
Oktober 1, 2024 09:45 MYT
Oktober 1, 2024 09:45 MYT
WASHINGTON: Gabenor Carolina Utara, Roy Cooper menyifatkan, Taufan Helene yang melanda negeri itu sebagai “meluas dan memusnahkan.”
Ratusan penduduk masih hilang di barat negeri itu selain berdepan kesukaran akibat banjir dan kekurangan perkhidmatan asas.
Dalam perkembangan sama, lebih 100 kematian direkodkan di enam negeri akibat ribut kuat yang melanda kawasan Big Bend di Florida pada lewat Khamis sebelum memusnahkan Georgia dan memasuki Carolinas.
Cooper melakukan tinjauan udara ke kawasan yang paling terjejas pada Isnin.
Beliau juga mengunjungi Hospital Mission di Asheville dan bertemu dengan aktivis pertubuhan bukan kerajaan serta orang ramai yang membantu memenuhi keperluan mangsa yang terjejas.
"Ribut seperti ini belum pernah terjadi. Ia memerlukan tindak balas yang belum pernah terjadi sebelumnya," katanya.
"Kita sedang menghadapi situasi yang tidak pernah dilihat oleh sesiapa di Carolina Utara," kata Cooper kepada pemberita selepas tinjauan.
Sementara itu, Cooper memberitahu Pasukan Pengawal Kebangsaan dan petugas kecemasan dari 19 negeri telah dikerah bersama-sama dengan kakitangan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan bagi membantu mangsa bencana alam itu.