Kerjasama pemerintah pusat, daerah di Indonesia pastikan penularan COVID-19 terkawal - Pakar
Wan Syamsul Amly
Jun 19, 2021 12:19 MYT
Jun 19, 2021 12:19 MYT
KUALA LUMPUR: Pemerintah pusat dan daerah di Indonesia perlu bersama dalam memastikan proses pemvaksinan dapat segera dilakukan kepada penduduk di negara itu.
Pakar Epidemiologi dari Universiti Griffith, Dicky Budiman berkata, ia akan membantu melindungi penularan pandemik COVID-19 lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian baharu yang mudah tersebar kini.
"Ini yang harus kita cegah, apa yang terjadi saat ini belum merupakan puncak dari delta varian kerana potensinya boleh dilihat pada Jun.
"Ia akan menjadi dominan dan saat ini yang masih mendominasi dan menuju puncak dari gelombang pertama di Indonesia adalah di akhir Jun oleh kerana varian Alfa yang pertama kali ditemukan.
"Selain itu, potensi kepada dua kemuncak ini perlu dilawan di semua daerah dengan kawalan diri. Walaupun angka pemeriksaan tidak mampu ditingkatkan, namun kaedah membuat lawatan ke rumah akan hanya meningkatkan lagi kadar kes. Untuk itu perlu dilakukan pendekatan isolasi yang efektif dengan sokongan pemerintah daerah," katanya dalam sidang video pada Sabtu.
Presiden Indonesia, Joko Widodo sebelum ini memerintahkan pihak berkuasa untuk mempercepat kempen vaksinasi di negara itu ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran keperluan meningkatkan sekatan sosial di negara itu di tengah-tengah lonjakan baharu jangkitan COVID-19 yang disebabkan oleh varian baharu.
Jokowi juga dilaporkan sudah mengarahkan Kabinetnya dan kerajaan tempatan untuk meningkatkan jumlah pemberian vaksin kepada satu juta sehari menjelang bulan Julai.
Jelasnya, Indonesia kini melakukan vaksinasi ke atas setengah juta penduduk sehari.
Dalam pada itu kata Dicky, Indonesia perlu mempertimbangkan untuk memulakan strategi lockdown yang akan mengurangkan tekanan petugas kesihatan.
Jelasnya, ia dapat menurunkan angka jangkitan selain penutupan sektor serta sokongan masyarakat negara itu sendiri.
"Namun tentu ini harus dilakukan dengan sokongan sektor dan masyarakat. Masyarakat tentu mempunyai pelbagai pandangan terutama dari gaya kehidupan dan ini tentu menjadi perhatian.
"Oleh kerana itu, tindakan lockdown ini harus betul-betul matang dan dirancang oleh pakar sebagai satu persediaan darurat ketika ia diperlukan. Ia juga bukan tindakan yang akhirnya tidak efektif," katanya.
Indonesia melaporkan lebih dari 1.9 juta kes COVID-19 sejak wabak itu bermula, dengan lebih dari 53,700 kematian, iaitu jumlah tertinggi di Asia Tenggara.
Indonesia perlu pendekatan isolasi cegah COVID-19 - Pakar Epidemiologi
Lockdown dapat turunkan angka penularan COVID-19
#Joko Widodo
#WHO
#Asia
#COVID-19
#pandemik
#varian baharu
#vaksin
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#Indonesia
#Jokowi