Kerjasama global penting untuk penggunaan bertanggungjawab AI dalam bidang ketenteraan

Bernama
September 16, 2024 04:20 MYT
Sidang Kemuncak REAIM, yang diadakan di Seoul, berfungsi sebagai platform global untuk perbincangan dalam kalangan pihak berkepentingan bagi memastikan penggunaan AI yang bertanggungjawab dalam aplikasi ketenteraan. --fotoBERNAMA
SEOUL: Kerjasama antarabangsa antara negara dan pemain utama dalam pertahanan adalah penting di tengah-tengah peningkatan pesat penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang ketenteraan.
Pakar industri yang menyertai Sidang Kemuncak REAIM (AI Bertanggungjawab dalam Bidang Ketenteraan) kedua, yang dianjurkan bersama oleh Korea Selatan di ibu negara ini baru-baru ini, bersependapat terdapat keperluan kritikal untuk mewujudkan peraturan dan mekanisme pengawasan yang berkesan bagi mengawal penggunaan AI serta mengelakkan penyalahgunaannya dalam pertahanan dan peperangan.
Paul Scharre, Naib Presiden Eksekutif dan Pengarah Kajian di Pusat Keselamatan Amerika Baharu (CNAS), sebuah badan pemikir bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di Washington dan memberi tumpuan kepada keselamatan serta pertahanan berkata undang-undang peperangan mesti diterapkan pada AI dan aplikasinya dalam sektor itu.
Beliau berkata pada masa ini tiada peraturan khusus mengenai bagaimana AI digunakan dalam ketenteraan.
"Saya rasa kita perlu negara-negara untuk bersama-sama merangka peraturan bagi tadbir urus global mengenai penggunaan AI dalam ketenteraan sekarang, untuk menentukan apa yang sepatutnya menjadi peraturan.
"Apa jenis penggunaan AI dalam ketenteraan yang boleh diterima, dan yang mana tidak boleh diterima," katanya kepada Bernama di luar sidang kemuncak itu.
Beliau berkata tugas itu mungkin tidak mudah, tetapi pastinya boleh dilakukan kerana sejarah telah menunjukkan bahawa negara-negara boleh bekerjasama untuk menetapkan peraturan dalam peperangan.
"Mereka tidak selalunya berjaya, tetapi ada contoh kejayaan dalam usaha untuk mengharamkan penggunaan periuk api, peluru kluster, laser dan senjata nuklear.
"Jadi kita tahu bahawa ada kemungkinan bagi negara-negara untuk bekerjasama mengenai cara mereka menggunakan teknologi AI dalam peperangan," kata Scharre.
Pengarah Pusat Kajian Masa Depan Universiti Dubai, Dr Saeed Aldhaheri berkata bahawa sementara kerjasama global adalah penting untuk menguruskan risiko berkaitan dengan AI, mempunyai struktur tadbir urus untuk AI dalam bidang pertahanan juga penting.
Ini bagi memastikan bahawa kemajuan teknologi dimanfaatkan untuk kebaikan bersama, dari segi mempromosikan pembangunan dan penggunaan AI secara bertanggungjawab serta beretika bagi usaha damai global, dan bukannya untuk meningkatkan konflik.
"Dengan perlumbaan senjata AI yang sedang berlaku dan secara pantas mengubah bidang pertahanan, kita perlu mengenal pasti bidang-bidang yang berkesan di mana AI boleh digunakan untuk memperkukuh keamanan dan kestabilan global.
"Saya rasa ini memerlukan kerjasama global antara negara-negara dan meletakkan struktur tadbir urus yang baik bagi memastikan ia digunakan secara positif," katanya kepada Bernama.
Sidang kemuncak tahun ini memberi tumpuan kepada membina konsensus dalam kalangan masyarakat antarabangsa untuk mengurus penggunaan teknologi AI dalam ketenteraan secara beretika.
Satu daripada matlamat utamanya adalah mencari cara untuk memaksimumkan manfaat yang ditawarkan oleh AI sambil mengawal risiko yang mungkin timbul daripadanya dengan berkesan.
Dilancarkan pada 2023 oleh Korea Selatan dan Belanda di The Hague, Sidang Kemuncak REAIM, yang pertama seumpamanya, telah muncul sebagai platform antarabangsa pelbagai pihak berkepentingan yang penting untuk membincangkan isu-isu yang timbul daripada penggunaan AI dalam ketenteraan seperti teknologi dan inovasi, cabaran serta peluang berdasarkan etika.
Sidang kemuncak kedua ini dianjurkan bersama oleh Korea Selatan, Belanda, Singapura, Kenya dan United Kingdom.
Sebagai kuasa digital dengan industri pertahanan yang kukuh, sidang kemuncak ini telah mengukuhkan lagi kedudukan Korea Selatan sebagai pemain utama global dalam memimpin perbincangan peringkat tinggi mengenai AI dalam bidang pertahanan.
Bertemakan "AI Bertanggungjawab untuk Masa Depan Lebih Selamat", sidang kemuncak berprofil tinggi ini telah dibuka oleh Menteri Luar Korea Selatan, Cho Tae-yul dan dihadiri oleh lebih 2,000 peserta dari 90 negara, termasuk Malaysia.
-- BERNAMA
#kecerdasan buatan #Ketenteraan #pertahanan #Sidang Kemuncak REAIM
;