Kerjasama global dituntut sempena Hari Penentangan Buruh Kanak-Kanak Sedunia

Nursyazwani Saiful Sham
Jun 12, 2023 11:35 MYT
Untuk tahun ini, tema 'Keadilan Sosial untuk Semua. Tamatkan Buruh Kanak-Kanak! diangkat bagi menekankan hubungan antara keadilan sosial dan buruh kanak-kanak. - Gambar hiasan
SETIAP 12 Jun, Hari Penentangan Buruh Kanak-Kanak Sedunia disambut bertujuan untuk menjadi pemangkin kepada pergerakan global yang mempertahankan hak kanak-kanak daripada terus dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Kanak-kanak telah dijadikan sebagai buruh paksa sejak sekian lama dan nasib mereka terus diberi perhatian hasil pengorbanan aktivis-aktivis serata dunia yang membela nasib anak-anak kecil ini termasuk dengan mengorbankan nyawa.
Untuk tahun ini, tema 'Keadilan Sosial untuk Semua. Tamatkan Buruh Kanak-Kanak!’ diangkat bagi menekankan hubungan antara keadilan sosial dan buruh kanak-kanak.
Berikut fakta penting berkenaan buruh dalam kanak-kanak di seluruh dunia:
1. Progres mengurangkan buruh kanak-kanak
- Sejak tahun 2000, selama hampir dua dekad, dunia telah mencapai kemajuan yang stabil dalam mengurangkan buruh kanak-kanak.
- Namun, konflik, krisis, dan pandemik COVID-19 dalam beberapa tahun terakhir telah menyebabkan lebih banyak keluarga jatuh dalam kemiskinan dan memaksa jutaan kanak-kanak bergelut sebagai pekerja buruh.
2. Jumlah buruh kanak-kanak di seluruh dunia
- Ketika ini, terdapat 160 juta kanak-kanak yang terlibat dalam sektor buruh.
- Hampir satu daripada 10 kanak-kanak di seluruh dunia terlibat dalam sektor buruh.
- Afrika menduduki tangga teratas dalam peratusan kanak-kanak yang terlibat dalam sektor buruh, dengan satu dari lima anak terlibat.
- Jumlah kanak-kanak yang terlibat dalam sektor buruh di Afrika adalah 72 juta.
- Asia Pasifik menduduki tangga kedua tertinggi dengan 7 peratus daripada semua kanak-kanak dan 62 juta kanak-kanak terlibat dalam sektor buruh di rantau ini.
3. Sebagian besar buruh kanak-kanak di Afrika dan Asia Pasifik
- Afrika dan Asia Pasifik menyumbang hampir sembilan daripada setiap 10 kanak-kanak yang terlibat dalam sektor buruh di seluruh dunia.
- Bakinya, terbahagi di Amerika (11 juta), Eropah dan Asia Tengah (6 juta), dan negara Arab (1 juta).
-Dalam hal ini, berdasarkan peratusan, 5 peratus kanak-kanak terlibat dalam buruh kanak-kanak di Amerika, 4 peratus di Eropah dan Asia Tengah serta 3 peratus di negara Arab.
4. Buruh kanak-kanak di negara berpendapatan sederhana
- Meskipun peratusan kanak-kanak yang terlibat dalam sektor buruh paling tinggi dicatatkan di negara berpendapatan rendah, sebenarnya jumlah mereka lebih besar di negara berpendapatan sederhana.
- 9 peratus kanak-kanak di negara berpendapatan sederhana ke bawah dan 7 peratus kanak-kanak di negara berpendapatan sederhana ke atas terlibat dalam buruh kanak-kanak.
Berikut adalah gesaan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu sempena Hari Penentangan Buruh Kanak-Kanak Sedunia 2023:
1. Penekanan pada Keadilan Sosial dan Buruh Kanak-Kanak
- Pengalaman bersama selama tiga dekad terakhir telah membuktikan bahawa buruh kanak-kanak dapat dihapuskan jika punca asasnya ditangani.
- Kita semua perlu berusaha untuk membawa solusi terhadap masalah harian masyarakat, dan buruh kanak-kanak mungkin merupakan masalah yang paling jelas
2. Momen penting dalam mengakhiri buruh kanak-kanak
- Hari Penentangan Buruh Kanak-Kanak Sedunia 2023 adalah platform bersama untuk memberi komitmen mengakhiri buruh kanak-kanak bagi mencapai perubahan dalam kebersamaan.
3. Tuntutan Hari Penentangan Buruh Kanak-Kanak Sedunia 2023
- Menggesa tindakan global yang dikuatkan untuk mencapai keadilan sosial, terutama melalui kerjasama antarabangsa yang direncanakan, dengan penghapusan buruh kanak-kanak sebagai salah satu elemen pentingnya.
- Pengiktirafan universal Konvensyen ILO (Pertubuhan Buruh Antarabangsa) berkaitan umur minimum untuk memberikan perlindungan undang-undang kepada semua kanak-kanak dari segala bentuk buruh.
Justeru itu, PBB menyifatkan Hari Penentangan Buruh Kanak-Kanak Sedunia sebagai detik untuk semua pihak komited menamatkan krisis ini dengan membawa perubahan yang boleh dicapai berlandaskan kemahuan dan keazaman bersatu dalam keadaan yang sangat mendesak.
#COVID-19 #buruh #Kanak-kanak #PBB
;