Kerja meroboh sisa blok kondominium runtuh dipercepat susulan amaran taufan
Astro Awani
Julai 4, 2021 08:51 MYT
Julai 4, 2021 08:51 MYT
MIAMI: Pihak berkuasa Florida, Amerika Syarikat (AS) memutuskan kerja merobohkan blok bangunan kondominium Champlain Towers South di Miami yang masih berdiri akan dipercepatkan.
Ia mengambil kira aspek keselamatan, lebih-lebih lagi ketika taufan Elsa dijangka membadai Florida seawal Isnin.
Dengan perkembangan itu, pihak berkuasa berkata, blok bangunan menara akan dirobohkan pada Ahad bagi membolehkan pasukan operasi menjalankan misi di lokasi kejadian dengan selamat.
Angka kematian akibat kejadian kondominium runtuh itu kini meningkat kepada 24 orang.
Manakala 121 lagi masih belum ditemukan apabila bangunan kondominium 12 tingkat itu runtuh ketika penghuninya nyenyak tidur pada 24 Jun lepas.
Gabenor Florida, Ron de-Santis berkata, kerja merobohkan blok bangunan yang masih berdiri dapat membantu melindungi pasukan mencari dan menyelamat.
Katanya, tiada siapa tahu jika bangunan teguh berdiri itu akan tumbang tetapi faktor angin kencang yang mungkin di bawa bersama taufan elsa mungkin beri kesan kepada kekukuhan bangunan.
Tambah beliau, langkah itu perlu dibuat segera berikutan taufan Elsa yang dijangka melanda Florida pada Isnin diramal membawa bersama angin selaju 120 kilometer sejam serta hujan lebat.
Sebelum ini, Datuk Bandar Miami memaklumkan sudah menandatangani perintah yang membenarkan kerja-kerja meroboh bangunan yang masih ada atas alasan keselamatan.
Penduduk di menara Champlain dan Crestview diarah mengosongkan kediaman selepas bangunan tersebut dianggap tidak selamat.
#blok bangunan
#Miami
#kondominium runtuh
#taufan elsa
#Champlain Towers South
#Crestview
#kosongkan kediaman