Keris Indonesia diiktiraf UNESCO kerana ketinggian falsafahnya
Bernama
Mei 16, 2015 17:33 MYT
Mei 16, 2015 17:33 MYT
Keris Indonesia telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai warisan dunia, kata rektor Institut Hindu Dharma Indonesia (IHDN) Prof Dr I Nengah Duija.
Berdasarkan laporan agensi berita Antara, Duija berkata pengiktirafan tersebut adalah berdasarkan nilai falsafahnya yang tinggi.
“Nilai falsafahnya termasuklah penjelmaan kekuatan struktur cakerawala, nilai kosmologi dan nilai kekuasaan,” jelas Duija.
Keris juga mempunyai nilai estetika yang melengkapkan persalinan, adat, budata dan seni serta memiliki nilai ekonomi yang tinggi.
Keris Indonesia, termasuk dari Bali, telah diiktiraf sebagai warisan dunia kerana aspek penggunaannya dalam aktiviti manusia termasuk sebagai hobi dan dalam ritual Hindu.
Menurut Duija, selain mempamerkan kecemerlangan dari sudut budaya, keris juga merupakan simbol budaya peradaban manusia di bumi yang telah bertahan sejak zaman berzaman.
Tambahnya, keris juga mencerminkan nilai solidariti kerana ia boleh digunakan merentasi pelbagai budaya dan sebagai cenderamata negara.
Pengiktirafan mahakarya peradaban manusia yang dianugerahkan oleh UNESCO kepada keris Indonesia menjadikannya terkenal di mata dunia, Oleh itu, ia memerlukan konservasi dan penyelenggaraan.
Komuniti di Bali mengangkat darjat kesucian keris melalui ritual yang dinamakan Tumpek Landep, iaitu sebuah sambutan khas setiap 210 hari.
Ritual keramat itu melibatkan persembahan untuk semua jenis objek tajam termasuk keris dan beberapa lagi senjata tradisional.