Kereta terbang eHang dijual pada harga RM1.5 juta
Amanz
Februari 3, 2024 14:26 MYT
Februari 3, 2024 14:26 MYT
SELEPAS lebih tujuh tahun dalam pembangunan, eHang akhirnya mula menjual “kereta terbang” mereka di China pada harga RMB 2.39 juta (~RM 1.5 juta) sebuah.
eHang EH 216-s boleh membawa dua penumpang dengan melakukan operasi secara swaterbang.
Dengan sekali caj, ia boleh terbang sejauh 30km dengan kelajuan mencecah 130km/j.
eHang ialah pengeluar pertama yang dibenarkan menawarkan perkhidmatan teksi terbang di China.
Sejak tiga tahun yang lalu mereka turut telah melakukan ujian ia digunakan untuk tujuan pelancongan di Guangzhou.
Walaupun sudah boleh dibeli di China, jualan yang dibuka untuk tujuan komersial bukannya untuk pemilikan peribadi.
eHang EH 216 mempunyai kaitan dengan Malaysia. Pada tahun 2019 Super Dron diumumkan sebagai “kereta terbang pertama Malaysia” tetapi hanyalah sekadar EH 216 yang diimport.
Selepas ia didedahkan, kita tidak lagi mendengar sebarang berita mengenai “kereta terbang buatan tempatan” ini. -Amanz