Kereta api wap antik terbabit dalam nahas di Scotland

Bernama
September 30, 2023 23:06 MYT
Lokomotif wap Flying Scotsman terbabit dalam nahas selepas bertembung dengan satu lagi kereta api di Stesen Kereta Api Aviemore, di Cairngorms, Scotland. - Foto AP
EDINBURGH: Lokomotif wap Flying Scotsman terbabit dalam nahas selepas bertembung dengan satu lagi kereta api di Stesen Kereta Api Aviemore, di Cairngorms, Scotland, pada Jumaat malam, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Stesen ini menempatkan Strathspey Railway, laluan yang membawa pengunjung menaiki kereta api wap di utara Scotland.
Menurut polis, dua orang telah dibawa ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga tetapi kecederaan mereka dipercayai tidak serius.
Jurucakap Muzium Kereta Api Negara berkata: "Kami mengesahkan bahawa lokomotif wap Flying Scotsman telah terlibat dalam kemalangan di Stesen Aviemore. Kami masih mengumpulkan maklumat."
Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Scotland menghantar lapan jentera ke lokasi kejadian dan menurut polis mangsa yang lain dirawat di stesen itu.
Seorang jurucakap polis berkata: "Kira-kira pukul 7 petang pada Jumaat, 29 Sept, kami menerima laporan mengenai dua kereta api bertembung pada had kelajuan yang rendah di Stesen Kereta Api Aviemore."
Flying Scotsman dijadualkan untuk melakukan perjalanan pada hujung minggu ini.
-- BERNAMA
#kereta api wap antik #lokomotif #Flying Scotsman #Nahas
;