Kereta api terbakar ketika penumpang memasak, 73 terbunuh
Astro Awani
Oktober 31, 2019 05:51 MYT
Oktober 31, 2019 05:51 MYT
Sejumlah 73 orang dilaporkan maut pada Khamis apabila sebuah kereta api penumpang terbakar di Pakistan.
Kejadian yang berlaku apabila tangki gas meletup ketika penumpang sedang memasak bagi menyediakan sarapan itu turut mencederakan 40 yang lain.
Tiga gerabak kereta api yang sedang dalam perjalanan dari Karachi ke Rawalpindi itu musnah, dalam kejadian yang berlaku berhampiran bandar Rahim Yar Khan di selatan wilayah Punjab.
Ia sedang dalam perjalanan dari Karachi ke Rawalpindi.
Ia merupakan kejadian paling teruk menjejaskan sistem kereta api Pakistan dalam tempoh hampir 15 tahun.
"Dua dapur meletup ketika penumpang sedang memasak sarapan pagi.
"Api menjadi semakin marak dengan adanya minyak tanah dan penumpang di dalam kereta api yang bergerak," kata Menteri Kereta Api Pakistan Sheikh Rashid Ahmed, kepada Geo TV.
Menurutnya, kebanyakan kematian adalah disebabkan percubaan orang ramai untuk terjun dari kereta api yang sedang bergerak.
Siasatan berhubung insiden itu masih dijalankan dan tidak semua mangsa telah dikenal pasti.
Rashid dilaporkan berkata, perbuatan membawa masuk dapur ke dalam kereta api untuk menyediakan makanan ketika dalam perjalanan panjang merupakan satu masalah biasa.
Tidak lama sebelum kebakaran itu, katanya, konduktor kereta api telah mengarahkan beberapa penumpang berhenti memasak, tetapi mereka tidak mengendahkannya.
Bagaimanapun, beberapa orang yang terselamat memberitahu media, mereka percaya kebakaran tercetus akibat litar pintas dalam sistem elektrik kereta api itu.