Kereta api, pusat mengundi dibakar menjelang pilihan raya umum Bangladesh

Bernama
Januari 6, 2024 20:44 MYT
Sekurang-kurangnya empat penumpang tren komuter Benapole Express, termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita terbunuh selepas sebuah tren dibakar. - Reuters
DHAKA: Bangladesh terus dicemari dengan insiden keganasan pada Ahad menjelang pilihan raya umum yang akan diadakan di negara ini, lapor Agensi Anadolu.
Dalam satu insiden berkaitan, sekurang-kurangnya empat penumpang tren komuter Benapole Express, termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita terbunuh selepas tren berkenaan dibakar.
Lapan mangsa yang melecur dilaporkan dalam keadaan kritikal dan kini menerima rawatan di Institut Lecur dan Pembedahan Plastik Kebangsaan Sheikh Hasina di Dhaka, kata penyelaras unit Dr Samanta Lal Sen kepada pemberita.
Sebanyak empat gerabak kereta api itu didakwa dibakar pada malam Jumaat sejurus tiba di Dhaka dari bandar Jessore, menurut pihak bomba.
Susulan dakwaan sabotaj, pihak berkuasa menggantung operasi 31 kereta api sepanjang hujung minggu.
Selain itu, beberapa pusat pengundian di sekolah rendah di tengah Gazipur, barat daya Khulna, daerah utara-tengah Mymensingh dibakar pada malam Jumaat dan awal Sabtu.
Perdana Menteri Sheikh Hasina mengucapkan takziah dan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku manakala parti pembangkang Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) menuntut siasatan yang diselia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Bulan lalu, empat orang maut dalam kejadian kebakaran tren komuter yang sama.
Parti pembangkang yang diketuai oleh BNP mendesak pilihan raya kali ini diboikot, menyifatkannya sebagai cubaan "berperingkat" untuk menghalalkan pemerintahan parti pemerintah Liga Awami.
Pembangkang menuntut sistem sementara yang berkecuali untuk memantau pilihan raya tetapi ditolak kerajaan dengan menyatakan ia tidak mengikut perlembagaan.
-- BERNAMA
#pilihan raya umum Bangladesh #kereta api dibakar #politik bangladesh #mangsa korban
;