Kereta api penumpang tergelincir landasan di Taiwan, sekurang-kurangnya 4 maut

Agensi
April 2, 2021 11:59 MYT
Beberapa gerabak berlanggar dengan dinding terowong dan keadaan rangka kereta api yang remuk teruk menyukarkan operasi pasukan menyelamat untuk mengaksesnya. Foto: Facebook/
TAIPEI: Sebuah kereta api penumpang di Taiwan tergelincir dari landasan pada Jumaat, mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang sementara lebih 20 yang lain cedera, lapor media tempatan yang dipetik portal berita Channel NewsAsia.
Kereta api yang dalam perjalanan ke Taitung itu terlibat dalam insiden mencemaskan sewaktu memasuki sebuah terowong di utara Hualien hingga mengakibatkan beberapa gerabak berlanggar dengan dinding terowong, kata jurucakap jabatan bomba.
Dalam laporan awal, sekurang-kurangnya empat orang dipercayai mati. Tiga yang cedera parah telahpun digegaskan ke hospital manakala yang lain masih menunggu untuk menerima rawatan.
Dipercayai angka kematian akan bertambah.
Kereta api itu membawa sejumlah 350 penumpang, dan kerja-kerja menyelamat sedang giat dijalankan.
Antara 80 hingga 100 orang telah dikeluarkan dari empat gerabak pertama, manakala gerabak kelima hingga kelapan mengalami kesan remuk yang teruk hingga menyukarkan operasi mengaksesnya.
Kemalangan itu berlaku ketika Taiwan sedang dalam cuti hujung minggu yang panjang, dan lokasi kejadian merupakan laluan ke kawasan perunungan yang menjadi tarikan pelancongan popular.
[KEMAS KINI] Puluhan disahkan maut, kerja menyelamat berdepan kesukaran
#kereta api #Taiwan #tergelincir landasan #Hualien #kemalangan #kawasan pelancongan
;