Kereta api pelancong Bangkok-Pattaya mulakan operasi

Agensi
Mac 20, 2018 00:13 MYT
Kereta api itu akan berlepas dari stesen Hua Lamphong, Bangkok pada jam 6.45 pagi, dan akan tiba di Pattaya pada jam 9.13 pagi. - Facebook PR Railway
Para pelancong dan pengembara Malaysia yang meminati negara Thailand tentunya suka dengan perkembangan terbaru ini.
Satu perkhidmatan kereta api pelancong dari Bangkok dan Pattya dan Sattahip baru saja memulakan operasinya, dengan kekerapan dijadualkan setiap hujung minggu untuk enam bulan ke hadapan.
Portal berita Bangkok Post melaporkan, langkah tersebut adalah untuk melonjakkan aktiviti pelancongan di sebelah timur negara itu.
Gerabak-gerabak yang berhawa dingin ke stesen Pattaya dan Ban Phlu Ta Luang di Sattahip akan ditawarkan setiap Sabtu dan Ahad sehingga 30 September nanti.
Kereta api itu akan berlepas dari stesen Hua Lamphong, Bangkok pada jam 6.45 pagi, dan akan tiba di Pattaya pada jam 9.13 pagi, seterusnya ke Ban Phlu Ta Luang di Sattahip pada jam 9.50 pagi.
Bagi perjalanan pulang pula, kereta api akan berlepas dari Ban Phlu Ta Luang pada jam 3.50 petang, dan tiba di Pattaya pada jam 4.25 petang seterusnya tiba di Bangkok pada 6.25 petang.
Harga tambang dari Bangkok ke Pattaya dan destinasi akhir adalah 170 Baht (RM21). Tiket boleh dibeli menerusi talian terus SRT.
Antara hentian menarik yang bakal menarik tumpuan ramai adalah di Talad Nam 4 Pak iaitu pasar terapung di Pattaya.
Menurut Timbalan Gabenor State Railway of Thailand (SRT) Thanongsak Pongprasert, agensi itu akan mempertimbangkan untuk menambah kekerapan perjalanan dan gerabak jika perkhidmatan itu mendapat sambutan.
Ketua Jeneral Kementerian Pengangkutan, Anont Luengboribun, berkata pengendali dan pengusaha di Chon Buri akan menyediakan perkhidmatam pengangkutan dari stesen Pattaya ke banyak tarikan sekitar Chon Buri.
#Bangkok #kereta api #pasar terapung #Pattaya #pelancong #pelancongan #Pengembara #sattahip