Kerenah birokrasi rencatkan agihan lima tan sumbangan kemanusiaan Malaysia
Bernama
Mac 3, 2022 06:27 MYT
Mac 3, 2022 06:27 MYT
KABUL: Bantuan musim sejuk seberat lima tan yang diangkut dengan penerbangan khas dari Malaysia minggu lepas tertangguh selama lebih seminggu, sementara menunggu pelepasan daripada pihak berkuasa Taliban.
Bantuan yang terdiri daripada pakaian musim sejuk, makanan bayi, selimut, susu tepung dan keperluan lain yang dikumpul oleh kumpulan bantuan Malaysia, termasuk Global Peace Mission Malaysia (GPM) dan Persatuan Antarabangsa Cahaya Buddha, tiba di sana pada 23 Feb.
Bagaimanapun, sehingga kini, tiada satu pun barangan yang dikeluarkan untuk diagihkan.
Ketua Pegawai Eksekutif GPM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin memberitahu Bernama kerenah birokrasi menjadi punca kelewatan itu. GPM menerajui usaha menyelaraskan bantuan dari Malaysia di Afghanistan.
"Prosesnya mengambil sedikit masa. Biasanya, proses itu adalah antara kerajaan tetapi disebabkan kami menggunakan pendekatan sebagai masyarakat madani, kami perlu menggunakan saluran berbeza untuk mengeluarkannya," katanya.
Beliau menambah apabila urusan berkaitan borang selesai, bantuan itu akan dibawa ke Pusat Kemanusiaan Malaysia (MHC) yang baharu dibuka untuk dikira dan dibungkus semula sebelum diedarkan.
Ketika ditanya sama ada sudah terlambat kerana musim sejuk hampir berakhir, beliau berkata terdapat banyak komuniti di Afghanistan yang masih memerlukan bantuan itu, seperti di kawasan pergunungan.
Meskipun misi delegasi utama Malaysia ke Afghanistan tamat dengan kumpulan terakhir berlepas hari ini, Fahmi berkata bantuan itu selamat dengan petugas GPM, NGO Malaysia lain dan rakan kongsi tempatan akan mengambil alih tugas itu.
Dianjurkan oleh GPM, delegasi Malaysia yang terdiri daripada pekerja kemanusiaan, pelabur dan media menghabiskan 20 hari di Afghanistan untuk melihat situasi di lapangan, dan menubuhkan rangka kerja untuk perniagaan masa depan dan usaha kemanusiaan antara rakyat kedua-dua negara.
Delegasi Malaysia bertemu dengan pelbagai anggota pentadbiran baharu, termasuk Kementerian Luar, Kementerian Pendidikan, Bank Pusat Afghanistan dan Kementerian Perdagangan dan Industri.
Kumpulan itu mengagihkan bantuan kepada keluarga yang memerlukan di Kabul, yang jatuh miskin akibat krisis ekonomi. Mereka juga ke Jalalabad di wilayah Nangarhar yang bergolak untuk mengagihkan bantuan makanan kepada 150 keluarga yang memerlukan, kebanyakannya mangsa perang.
Sebelum berlepas pada Selasa, Pengerusi GPM Datuk Ahmad Azam Ab Rahman, yang juga Wakil Khas Wisma Putra untuk Afghanistan, memberitahu wartawan tempatan, sungguhpun Malaysia berharap dapat membimbing Afghanistan tentang cara mentadbir dan membangunkan negara, Afghanistan berhak menentukan sendiri cara terbaik untuk masa depan mereka.
"Terserah kepada kerajaan Afghanistan untuk memilih model terbaik (untuk mentadbir dan pembangunan) dan kami boleh berkongsi model kami dengan Afghanistan, kami bersedia untuk melakukannya (jika perlu)," katanya.
Malaysia belum mengiktiraf secara rasmi kerajaan Afghanistan pimpinan Taliban, yang mengambil alih negara itu tahun lalu selepas tentera Amerika Syarikat berundur dan kerajaan Ashraf Ghani tumbang. Rundingan itu dilakukan atas dasar perniagaan persendirian tanpa penglibatan langsung kerajaan Malaysia.
-- BERNAMA