Kerat, sumbat mayat ibu dalam peti sejuk sebelum tembak diri sendiri

Sinar Harian
November 28, 2019 19:32 MYT
Mayat ibu disumbat dalam peti ais. - Sinar Harian
KEJAM. Seorang anak sanggup bunuh, kerat ibunya dan sumbat mayat di dalam peti sejuk sebelum menembak dirinya di rumah di bandar Tha Kham.
Mayat Cik Yuree, 42, dipotong beberapa bahagian iaitu, kepala, badan, lengan dan kaki ditemui di dua lokasi berasingan iaitu di dalam peti ais dan tandas, manakala Sira, 20, ditemui di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah.
Menurut rakannya, sebelum kejadian, Yuree yang bekerja di salah sebuah syarikat kewangan itu dikatakan tidak hadir ke tempat kerja tanpa memaklumkan sesiapa.
Bimbang keselamatan rakannya itu, dia pergi ke rumah mangsa dan bertemu anaknya, Sira yang sedang menangis dan berkata ibunya tidak pulang.
Rakan sekerja menganggap tindakan Sira pelik kerana kereta ibunya berada di luar rumah.
Menurut jurucakap polis, Kolonel Krissana Pattanacharoen berkata, rakan sekerja mangsa menghubungi polis untuk melaporkan insiden kejam tersebut.
"Tidak lama selepas itu, satu bunyi tembakan kedengaran di dalam rumah dan mendapati anak lelaki mangsa yang juga pelajar tahun kedua di universiti itu menembak dirinya sendiri.
"Setibanya polis di rumah tersebut, mereka mendapati suspek masih hidup sebelum dia dibawa ke hospital Nakhon Thon untuk dirawat namun suspek tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia di hospital berkenaan," katanya kepada Thaivisa.
Siasatan awal polis mendapati suspek seorang pesakit mental yang menghidapi simptom masalah paranoia dan kemurungan, namun polis masih membuat siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar kejadian ini.
#bunuh ibu #Cik Yuree #kerat mayat ibu #Sira #sumbat dalam peti sejuk #Tha Kham
;