Kerangka politik baharu sebagai usaha akhiri konflik Libya

Astro Awani
Februari 6, 2021 07:18 MYT
Abdul Hamid Mohammed Dbeibah menyampaikan ucapan pertama selepas dipilih sebagai perdana menteri, menerusi siaran televisyen, di Tripoli, 6 Feb, 2021. (Foto AP)
PERDANA Menteri baharu Libya, Abdul Hamid Mohammed Dbeibah memuji penjajaran politik baharu di negara itu.
Antara lain, katanya pada Sabtu, ia akan menjurus kepada usaha mengakhiri konflik serta menjayakan pilihan raya berdasarkan asas perlembagaan dan prinsip demokrasi.
Dalam ucapan pertamanya sejak memegang tampuk pemerintahan, Ddeibah berkata, perjanjian yang dicapai pada Jumaat di Geneva adalah simbol kemenangan perpaduan nasional dan hasrat ingin demokrasi dikembalikan.
Jelas beliau, kegagalan bukan satu pilihan.
"Kegagalan, ketika fasa sensitif dalam sejarah dan rakyat negara ini, bukan merupakan satu pilihan. Kerana, tanah air ini adalah amanah dari mereka yang telah terkorban dan pengasas negara ini.
"Kita memegang amanah ini sebagai satu tanggungjawab.
"Oleh itu, saya mengajak anda semua menyokong kerajaan ini untuk memulakan kerja serius membangunkan semula negara dengan kukuh, sesuai dengan aspirasi dan pengorbanan rakyat kita," katanya yang berucap di Tripoli.
Dalam ucapannya yang disiarkan menerusi televisyen negara itu, Ddeibah turut berjanji akan memperkasa golongan wanita, belia dan hak kebebasan bersuara.
Beliau turut meminta negara-negara serantau dan antarabangsa bekerjasama dengan pentadbiran sementara Libya.
Perdana menteri yang dipilih itu perlu membentuk Kabinet dan merealisasikan programnya dalam masa tiga minggu.
Setelah berbulan-bulan mengadakan rundingan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bersama perwakilan negara itu melantik Diplomat Mohammad Younes Menfi sebagai Ketua Majlis Presiden dan Ddeibah pula sebagai Perdana Menteri.
Libya mula mengalami kekacauan politik berikutan pemberontakan menggulingkan dan membunuh Muammar Gaddafi pada 2011.
Negara berkenaan dibahagikan kepada dua pemerintah, di timur dan barat.
#COVID-19 #ujian saringan #vaksin #varian baharu #England #penjajaran politik baharu #Perdana Menteri #pilihan raya #kabinet #kerajaan #perpaduan #Libya #PBB #politik
;