Kerana salah faham, karya seni bernilai RM1.3 juta diconteng
Agensi
April 4, 2021 08:01 MYT
April 4, 2021 08:01 MYT
SEOUL: Karya seni grafiti yang dipamerkan di Korea Selatan telah dirosakkan oleh pasangan berusia 20an yang menganggap set cat dan berus yang diletakkan di hadapan karya itu adalah untuk kegunaan penonton.
Kakitangan galeri mengenal pasti contengan baharu di dinding berwarna hijau gelap dan hasil pemeriksaan, dua suspek ditahan polis untuk siasatan.
Agensi yang menganjurkan pameran itu memberitahu ABC News bahawa ia kini sedang berunding dengan artis terbabit untuk mengambil langkah yang sesuai.
"Kami segera menghubungi polis dan berbincang dengan syarikat insurans. Tetapi sebagai agensi yang bertanggungjawab, kami akan cuba untuk meminimumkan hukuman terhadap pasangan itu yang secara tidak sengaja merosakkan hasil karya berkenaan," kata Kang Wook, Ketua Pegawai Eksekutif Contents Creator of Culture, penganjur bersama pameran itu, kepada ABC News.
Menurut Kang, grafiti itu tidak dibingkai kerana ukurannya yang besar. Ia dihasilkan oleh artis yang dikenali sebagai JonOne dan bernilai sekitar AUD440,000 (RM1.3 juta), menurut agensinya.
Ia sepatutnya dipamerkan hingga 13 Jun, di Galeri Street Noise di Lotte World Mall yang berpusat di Seoul.
Agensi yang bertanggungjawab telah mengeluarkan panduan tambahan untuk penonton dan meningkatkan pengawasan di sekitar tempat kerja untuk mengelakkan salah faham sedemikian berulang.
"Kemungkinan akan ada banyak kejadian seperti ini di masa hadapan. Penganjur pameran mesti berhati-hati dalam melindungi karya seni secara fizikal, kerana penonton mungkin tidak perasan dan melakukan perkara yang sama," Ha Jae-geun, pakar budaya pop Korea, kepada ABC News.