Kerana pisang, flat terpaksa dikosongkan
Madiha Abdullah
Mei 13, 2015 22:33 MYT
Mei 13, 2015 22:33 MYT
Siapa sangka, hanya kerana setandan pisang yang dibeli di kedai, satu tingkat blok flat di barat laut United Kingdom terpaksa dikosongkan selama seminggu.
Semuanya gara-gara seorang penghuni sebuah unit flat tersebut, Kaydee Bota, terjumpa sesuatu yang dipercayai merupakan telur labah-labah spesis Brazilian Wandering pada tandan pisang yang dibelinya.
Kaydee yang menyedari ada sesuatu yang pelik pada pisang yang dibelinya, membuat carian di Google dan mendapat tahu ia mungkin menjadi tempat pembiakan labah-labah dari antara spesis paling merbahaya di dunia.
Ibu kepada anak kembar berusia 10 bulan itu kemudiannya membuang pisang itu di tempat pembuangan sampah yang disediakan di blok flat tersebut, sebelum menghubungi pihak pengurusan bangunan.
Pegawai kesihatan yang dipanggil untuk membuat pemeriksaan kemudiannya mengarahkan agar tempat pembuangan sampah itu ditutup untuk dibersihkan. Tingkat dua blok berkenaan, di mana rumah Kaydee berada, juga dikosongkan untuk tujuan sama.
Labah-labah spesis Brazilian Wandering merupakan antara spesis paling berbahaya di dunia. Ia juga dipanggil labah-labah pisang kerana gemar bersarang dan bertelur pada buah berkenaan.