'Kerana nila setitik', warga Bangladesh di New York bimbang jadi sasaran kebencian

Agensi
Disember 12, 2017 07:30 MYT
Tindakan Akayed Ullah merisikokan masa depan pendatang Bangladesh di New York - Gambar APTN
Penahanan Akayed Ullah, suspek serangan stesen komuter bawah tanah New York mencetuskan kerisauan dalam kalangan pendatang Bangladesh di kota raya itu.
Tindakan Akayed itu bagaikan membuka tirai kebencian buat pemimpin dan penduduk negara Uncle Sam itu terhadap mereka.
Masyarakat Bangladesh di Brooklyn bimbang kerajaan akan ‘menghukum’ keseluruhan pendatang Bangladesh lantaran tindakan individu bernama Akayed itu.
“Kami tidak menyokong tindakan ini. Siapa yang tergamak melakukan perkara sebegini” kata Fazlul Karim, salah seorang pendatang Bangladesh Di Brooklyn.
Fazlul malah mendesak keadilan ditegakkan dan sesiapa yang melakukan tindakan seumpama itu menerima hukuman sewajarnya.
Akayed, 27, didakwa meletupkan bom paip yang dilekatkan di badannya di stesen kereta api bawah tanah, Manhattan. Namun ia tidak meletup sepenuhnya dan Akayed satu-satunya mangsa yang mengalami kecederaan serius dalam kejadian itu.
Sementara itu seorang lagi pendatang Bangladesh di Brooklyn Sultan Ahmed meminta agar tindakan Akayed itu tidak dikaitkan dengan Islam.
“Islam menyeru kepada keamanan. Islam memberi kehidupan, menyelamatkan kehidupan. Muslim sejati tidak akan melakukan pekara ini,” jelas Sultan.
Susulan serangan berkenaan President Donald Trump pada Isnin mengulangi pendiriannya yang mahu sistem imigresen di Amerika Syarikat dirombak sepenuhnya bagi mengawal kemasukan pendatang asing termasuk mengetatkan syarat pemberian visa.
Akayed memasuki Amerika Syarikat pada 2011 dengan menggunakan visa keluarga yang dikenali sebagai visa F43.
#Akayed Ullah #Bangladesh #bom #Imigresen #New York #serangan #Visa
;