Kerana ‘Brad Pitt,’ wanita Perancis kemurungan, bercerai dan wang RM3.85 juta lesap

Agensi
Januari 15, 2025 11:00 MYT
Seorang wanita Perancis yang membuat pendedahan di televisyen bagaimana dia kehilangan wang simpanan kepada individu yang menyamar sebagai aktor terkenal Hollywood, Brad Pitt. - Gambar fail
PARIS: Seorang wanita Perancis yang membuat pendedahan di televisyen bagaimana dia kehilangan wang simpanan kepada individu yang menyamar sebagai aktor terkenal Hollywood, Brad Pitt berhadapan gangguan dalam talian menyebabkan wawancara tersebut ditarik balik daripada tayangan pada Selasa.
Dalam program Seven to Eight di saluran TF1 itu, wanita yang dikenali sebagai Anne itu memberitahu, dia mempercayai dirinya sedang menjalinkan hubungan romantik dengan bintang Hollywood tersebut.
Kerana terlalu percaya dengan penyamaran itu juga menyebabkan Anne bercerai dengan suaminya serta memindahkan 830,000 euro (RM3.85 juta) kepada penyamar itu.
Anne benar-benar terpedaya dengan akaun palsu di media sosial dan WhatsApp serta teknologi penciptaan imej kecerdasan buatan (AI) untuk menghantar apa yang kelihatan seperti swafoto dan mesej daripada Pitt.
Untuk mendapatkan wang, sindiket berkenaan berpura-pura menyamar sebagai aktor masyhur berusia 61 tahun itu yang terdesk memerlukan dana untuk rawatan buah pinggangnya.
Penyamar itu turut memberi alasan akaun banknya dibekukan berikutan proses perceraian dengan bekas isterinya, aktres Angelina Jolie.
Apa yang lebih parah, Anne, seorang pereka dalaman berusia 53 tahun yang mengalami masalah kesihatan mental mempercayai komunikasi itu selama setahun setengah.
Dia hanya menyedari menjadi mangsa penipuan jenayah dalam talian apabila berita mengenai hubungan sebenar Pitt dengan teman wanitanya, Ines de Ramon, muncul.
“Kisah yang disiarkan pada hari Ahad ini telah menyebabkan gelombang gangguan terhadap saksi tersebut,” tulis penyampai TF1, Harry Roselmack, di akaun X miliknya pada Selasa.
“Demi melindungi mangsa, kami memutuskan untuk menarik balik siaran ini daripada platform kami.”
Anne dikatakan mengalami kemurungan yang teruk dan menerima rawatan di hospital ketika wawancara tersebut ditayangkan.
Wawancara itu dirakam secara terbuka selain turut berkongsi gambar keluarga menjadi tular pada Isnin.
Susulan itu, ia mencetuskan pelbagai maklum balas yang mengecam serta komen-komen humor.
Tidak ketinggaan, terdapat juga netizen yang menuduh TF1 gagal melindungi individu yang terdedah dan mungkin tidak sedar tentang akibat mendedahkan kisahnya kepada umum.
Kelab Bola Sepak Toulouse turut berkongsi ciapan jenaka dengan mengatakan: “Brad beritahu kami dia akan berada di stadium pada Rabu ini” sebelum menarik balik mesej tersebut dan memohon maaf.
Netflix Perancis juga memuat naik hantaran mempromosikan “empat filem lakonan Brad Pitt yang benar-benar boleh ditonton secara percuma.”
Penipuan romantik sudah menjadi sebahagian daripada internet sejak era awal e-mel, tetapi pakar mengatakan AI kini meningkatkan risiko pencurian identiti, penipuan dan penipuan dalam talian.
Anne memberitahu TF1, dia pertama kali dihubungi oleh seseorang yang menyamar sebagai ibu Pitt sejurus dia mula menggunakan Instagram semasa percutian ski bersama keluarganya di Perancis.
“Dia beritahu saya bahawa anaknya memerlukan seseorang seperti saya,” jelas Anne.
Beberapa hari kemudian, penjenayah itu sekali lagi mengirim mesej dan kali ini menyamar sebagai Pitt.
“Pada mulanya saya fikir ini palsu, sangat mengarut,” jelas Anne kepada TF1.
“Tetapi saya tidak biasa dengan media sosial dan tidak benar-benar memahami apa yang sedang berlaku kepada saya.”
“Saya tertanya-tanya mengapa mereka memilih saya untuk melakukan kemudaratan seperti ini?” tambahnya.
“Saya tidak pernah memudaratkan sesiapa pun. Orang-orang sebegini selayaknya dihumban ke neraka,” luahnya penuh kesal. - Agensi
#Brad Pitt #scammer #wanita Perancis #menyamar jadi Brad Pitt
;