Kerajaan UK akan haramkan penjualan peranti rokok elektronik pakai buang

Bernama
Oktober 24, 2024 22:05 MYT
Penjualan peranti rokok elektronik atau vape pakai buang akan diharamkan di Britain menjelang musim panas depan. - Foto hiasan/REUTERS
LONDON: Penjualan peranti rokok elektronik atau vape pakai buang akan diharamkan di Britain menjelang musim panas depan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kerajaan UK.
Perundangan baharu untuk mengharamkan penjualan vape pakai buang mulai 1 Jun 2025 telah dibentangkan di Parlimen, menurut Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar (Defra) pada Rabu.
Defra berkata perniagaan akan mempunyai masa sehingga tarikh akhir itu "untuk menjual baki stok yang mereka ada dan bersiap sedia untuk penguatkuasaan larangan itu."
Menurut Defra, Kerajaan UK dan kerajaan kerajaan yang diberi autonomi telah bekerjasama rapat mengenai larangan itu dan akan "menyelaraskan tarikh penguatkuasaan."
Tahun lepas, dianggarkan hampir lima juta vape sekali guna sama ada dibuang atau dicampakkan bersama sisa biasa setiap minggu di UK - hampir empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Defra berkata penggunaan peranti rokok elektronik di England telah meningkat lebih daripada 400 peratus antara 2012 dan 2023, dengan 9.1 peratus rakyat Britain kini membeli dan menggunakan produk itu.
"Adalah amat membimbangkan bahawa satu perempat daripada kanak-kanak berumur 11-15 tahun menggunakan vape tahun lepas dan kami tahu produk pakai buang adalah pilihan utama bagi kebanyakan kanak-kanak yang menggunakan peranti itu hari ini.
"Mengharamkan vape pakai buang bukan sahaja akan melindungi alam sekitar tetapi yang lebih penting, mengurangkan daya tarikan peranti rokok elektronik kepada kanak-kanak dan menjauhkan produk ini daripada golongan muda yang terdedah," kata Menteri Kesihatan, Andrew Gwynne.
Menurut beliau, kerajaan juga akan memperkenalkan Rang Undang-Undang Tembakau dan Vape - intervensi kesihatan awam terbesar dalam satu generasi - yang akan melindungi golongan muda daripada ketagihan nikotin dan membuka jalan untuk UK yang bebas asap rokok.
Pada Isnin, Setiausaha Kesihatan Wes Streeting berjanji untuk memperketatkan undang-undang merokok dengan rang undang-undang yang "lebih bercita-cita tinggi" daripada Konservatif.
-- BERNAMA
#kerajaan UK #rokok elektronik #vape #haramkan
;