Kerajaan tidak layan sebarang tuntutan ke atas Sabah - Anifah
Astro Awani
Mei 24, 2015 19:08 MYT
Mei 24, 2015 19:08 MYT
Kerajaan bertegas dengan pendirian bahawa Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak akan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak ke atas Sabah.
Dalam kenyataannya yang dikeluarkan hari ini, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menjelaskan Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak 16 September 1963.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media yang menyebut Presiden Filipina Benigno S. Aquino Ketiga sebagai berkata, beliau tidak akan mengugurkan tuntutan ke atas sabah.
Wisma Putra juga telah memanggil Pegawai Kedutaan Besar Republik Filipina Medardo G. Macaraig, berikutan kenyataan terbabit.
Kenyataan itu dikeluarkan Aquino semasa ditemubual wartawan Filipina, Raissa Robles pada 15 Mei lalu.
Dalam temubual itu, beliau ditanya sama ada Manila akan menggugurkan tuntutan ke atas Sabah selepas Malaysia menyatakan sokongan terhadap tuntutan Manila ke atas Laut Barat Filipina.