Kerajaan Thailand tidak memihak dalam konflik Myanmar - Prayuth

Bernama
Jun 20, 2023 20:52 MYT
Prayuth berkata rundingan adalah perlu. - Gambar fail/Reuters
BANGKOK: Kerajaan Thailand tidak memihak dalam konflik Myanmar kata Perdana Menteri Sementara Jen Prayuth Chan-o-cha, mempertahankan mesyuarat tidak rasmi antara negara yang terjejas oleh situasi Myanmar anjuran Bangkok.
Prayuth berkata rundingan adalah perlu, lapor Agensi Berita Thailand (TNA). Thailand dan Myanmar berkongsi sempadan lebih 3,000 kilometer. Ia memberi kesan kepada rakyat Thailand dan pekerja asing.
Berkenaan kritikan kerana menganjurkan mesyuarat walaupun berperanan sebagai penjaga kerajaan sementara, beliau berkata tiada persetujuan dibuat semasa rundingan itu.
Menurut Kementerian Luar Thailand, walaupun tidak diadakan dalam rangka kerja ASEAN, mesyuarat pada Isnin bertujuan menyokong usaha ASEAN untuk menyelesaikan situasi di Myanmar.
Menteri Luar Thailand Don Pramudwinai juga mewajarkan penganjuran mesyuarat tidak rasmi itu dengan mendakwa ia bukanlah 'belum pernah terjadi sebelum ini'.
Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi, Pengerusi semasa ASEAN menolak menghadiri mesyuarat itu. Malaysia, Singapura dan Filipina juga tidak hadir.
Bagaimanapun, Kemboja bmenghantar wakilnya untuk menghadiri mesyuarat dua hari yang diadakan di Bangkok, menurut Agensi Anadolu.
Jeneral Myanmar telah dihalang daripada mesyuarat ASEAN peringkat kanan sejak mereka merampas kuasa dalam rampasan kuasa 2021.
-- BERNAMA
#ASEAN #Prayuth Chan-ocha #Kementerian Luar #pekerja asing
;