Kerajaan Thailand tandatangan perjanjian dengan kumpulan pemisah

Astro Awani
Februari 28, 2013 12:19 MYT
Kerajaan Thailand pada Khamis buat julung kalinya menandatangani perjanjian dengan kumpulan pemisah selatan negara itu yang antara lain bersama-sama memberi komitmen untuk mengadakan rundingan damai yang diharap dapat menamatkan pergolakan yang berlarutan.
Menurut laporan agensi berita AFP, dokumen perjanjian itu ditandatangani oleh Leftenan Jeneral Paradorn Pattanathabutr, Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Thailand dan Hassan Taib dari Barisan Revolusi Nasional Thailand.
Perjanjian ditandatangani di Pulapol, Jalan Semarak, Kuala Lumpur pagi tadi.
‘Alhamdulillah, kami akan berusaha untuk menyelesaikan masalah yang ada. Kami akan memaklumkan kepada penduduk dan bekerjasama dengan mereka untuk mencapai matlamat itu,” kata Hassan selepas majlis itu.
Hassan diiktiraf sebagai pegawai perhubungan pejabat BRN di Malaysia.
Bagaimanapun kedua-dua belah pihak tidak memberikan sebarang kenyataan berkaitan perjanjian terbabit.
BRN adalah salah sebuah kumpulan pemisah yang didakwa terbabit dalam pergolakan di selatan Thai.
Namun masih terlalu awal untuk melihat samada kumpulan pemisah lain akan turut menyokong pendirian BRN.
Kumpulan pemisah menuntut kuasa autonomi terhadap wilayah itu, sesuatu yang telah ditolak kerajaan Thailand.
#Barisan Revolusi Nasional #Selatan Thai #Thailand
;