Kerajaan Thailand sedia tarik balik perintah darurat di Bangkok
Saraya Mia
Oktober 21, 2020 00:29 MYT
Oktober 21, 2020 00:29 MYT
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan o-cha bersedia untuk arik balik perintah darurat di Bangkok jika protes besar-besaran menuntut peletakan jawatan beliau serta reformasi instistusi monarki, kekal aman.
Bekas ketua tentera itu berucap dalam pengumuman rasmi di Rumah Kerajaan pada Rabu sambil mendesak supaya penunjuk perasaan menggunakan tempoh persidangan Parlimen minggu depan untuk membincangkan tuntutan mereka dalam proses perundangan.
“Cara penyelesaian yang adil kepada mereka di jalanan (penunjuk perasaan) serta berjuta yang tidak pilih untuk keluar ke jalan untuk berprotes, adalah dengan berunding di parlimen,” kata Prayut dalam pengumuman rasmi yang disiarkan di televisyen nasional Thailand dan siaran langsung di media sosial.
Kabinet Thailand meluluskan untuk bersidang di parlimen dalam sesi luar jangkaan selama dua hari bermula 26 Oktober 2020 bagi menangani situasi huru-hara negara yang disebabkan protes prodemokrasi mega menentang kerajaan.
Sebelum ini, Prayut Chan o-cha mengisytiharkan bahawa '‘Situasi Darurat Serius Di Bangkok’' untuk mengharamkan perhimpunan lima orang atau lebih, yang dilaksanakan pada 4 pagi (waktu tempatan) dalam usaha mengakhiri tunjuk perasaan jalanan selama tiga bulan yang dipimpin pelajar.
Protes di sekitar Bangkok bermula sejak Julai dan digerakkan oleh pertubuhan belia, mahasiswa dan aktivis hak asasi manusia.
Mereka menuntut reformasi ke atas monarki dan mahu kerajaan pimpinan Prayuth Chan-o-cha meletak jawatan seterusnya membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada proses demokrasi baharu.
#Thailand
#Bangkok
#Perdana Menteri
#Parlimen
#Prayuth Chan-o-cha
#Penunjuk perasaan
#Situasi Darurat Serius Di Bangkok