Kerajaan Thailand percepat usaha pemulihan di kawasan terjejas banjir

Bernama
Ogos 26, 2024 00:04 MYT
Terdapat enam wilayah yang masih terjejas akibat banjir termasuk Chiang Rai, Phayao, Nan, Phrae, Phetchabun dan Sukhothai. - Reuters
BANGKOK: Kerajaan Thailand sedang mempercepatkan pemulihan dan pembaikan rumah, hospital, sekolah, jalan raya dan infrastruktur yang rosak di seluruh negara, berikutan banjir yang menjejaskan 13 wilayah.
Menteri yang bertugas di Pejabat Perdana Menteri Thailand, Jakkapong Sangmanee berkata terdapat enam wilayah yang masih terjejas akibat banjir termasuk Chiang Rai, Phayao, Nan, Phrae, Phetchabun dan Sukhothai.
Beliau berkata agensi berkaitan mempercepatkan saliran air bagi mengurangkan paras air dan mengepam air banjir keluar dari kawasan rendah bagi mengelakkan pencemaran.
"Agensi berkaitan juga mempercepatkan kerja pemulihan dan pembaikan. Mereka menyediakan makanan dan air minuman, serta memperluas isyarat Internet untuk meliputi semua kawasan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan mengenai situasi banjir di Rumah Kerajaan di sini pada Isnin.
Sejak 16 Ogos, 22 orang terbunuh dan 19 yang lain cedera dalam banjir kilat dan tanah runtuh berikutan hujan monsun di Thailand. Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana negara itu berkata lebih 30,900 isi rumah di 13 wilayah terjejas.
Jakkapong berkata Jabatan Meteorologi dan Agensi Pembangunan Sains dan Teknologi Kebangsaan meramalkan Thailand akan terus mengalami hujan berterusan sehingga akhir Ogos.
Beliau berkata menurut jabatan itu, peningkatan hujan dijangka di wilayah utara yang lebih tinggi, terutamanya di wilayah Chiang Rai, Phayao, Nan dan Phrae.
Jakkapong memberi amaran kepada orang ramai yang tinggal di wilayah timur, khususnya di wilayah Chanthaburi dan Trat dan di wilayah selatan Ranong, Phang Nga, Phuket, Krabi, Trang dan Satun untuk terus berwaspada.
"Pada masa yang sama, kawasan yang berisiko hujan lebat pada September dan Oktober mesti dipantau secara berterusan, terutamanya kawasan yang mempunyai kelembapan tanah yang tinggi, seperti wilayah utara yang lebih tinggi dan wilayah Phuket untuk mengelakkan tanah runtuh."
Agensi berkaitan diarah bersiap sedia menghadapi kemungkinan ribut, tambahnya.
-- BERNAMA
#banjir #Thailand #bencana alam #bantuan #kerajaan
;