Kerajaan Thailand, BRN rangka draf perjanjian teruskan rundingan damai

Bernama
Disember 12, 2022 13:06 MYT
Kerajaan Thailand dan BRN sedang merangka satu draf perjanjian termasuk gencatan senjata agar rundingan damai dapat diteruskan. -Gambar fail/Reuters
BANGKOK: Kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, sedang merangka satu draf perjanjian termasuk gencatan senjata agar rundingan damai dapat diteruskan.
Dalam satu kenyataan, BRN berkata draf itu mengandungi syarat seperti gencatan senjata dan jaminan keselamatan dan kekebalan wakil BRN yang akan kembali ke tanahair untuk mengadakan konsultasi dengan penduduk tempatan.
"Draf perjanjian ini masih dalam peringkat perbincangan and ia penting untuk menamatkan konflik dan mewujudkan keamanan berpanjangan di selatan Thailand.
"Ia (draf perjanjian) diumumkan sebelum rundingan seterusnya di mana kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak sebagai fasilitator sehingga boleh membawa perubahan positif kepada proses pendamaian di selatan Thailand," katanya.
BRN berkata pertemuan antara ketua perunding Jeneral Wanlop Rugsanaoh dan BRN dijangka diadakan tidak lama lagi.
Dalam kenyataan itu, BRN berkata ia tidak pernah menolak rundingan damai.
"BRN komited untuk mencari jalan penyelesaian," katanya.
Rundingan antara kerajaan dan pemberontak yang bermula pada 2013 untuk membawa keamanan terhenti berikutan rampasan kuasa tentera di Thailand setahun kemudian. Rundingan diteruskan kemudian tanpa pihak utama termasuk BRN.
Bagaimanapun, rundingan antara kerajaan Thailand dan BRN bermula pada 2019. Ia telah mencapai kemajuan konkrit dan penting yang membawa harapan untuk menamatkan keganasan di wilayah sempadan selatan Thailand selepas siri mesyuarat.
Bekas ketua polis negara Malaysia Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor, yang mewakili kerajaan Malaysia, bertindak sebagai fasilitator untuk rundingan damai di selatan Thailand.
Statistik oleh kumpulan pemantau bebas Deep South Watch menunjukkan kitaran keganasan yang tidak henti-henti di selatan Thailand, bermula pada 2004 di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla, yang telah meragut lebih 7,000 nyawa setakat ini.
-- BERNAMA
#Barisan Revolusi Nasional #BRN #kumpulan bersenjata #selatan thailand
;