Kerajaan Sweden semak semula Akta Ketenteraman awam selepas insiden bakar al-Quran
Bernama
Ogos 19, 2023 14:15 MYT
Ogos 19, 2023 14:15 MYT
STOCKHOLM : Kerajaan Sweden akan menyemak semula Akta Ketenteraman Awam sebagai tindak balas kepada siri serangan berulang terhadap al-Quran, menurut media.
Perdana Menteri Ulf Kristersson bersama pemimpin gabungan kerajaan, Ebba Busch dari Parti Demokrat Kristian dan Johan Pehrson dari Parti Liberal telah bersama-sama menulis artikel yang diterbitkan dalam akhbar Dagens Nyhete.
Ia menekankan keperluan mengatasi isu berkenaan dengan segera selain berkongsi komitmen mereka untuk menyemak undang-undang sedia ada tanpa membuat perubahan kepada Perlembagaan.
"Mereka menekankan kepentingan polis mengambil kira keselamatan negara sambil mempertimbangkan permohonan untuk perhimpunan dan demonstrasi," lapor Agensi Anadolu.
"Kerajaan akan menyiasat cara-cara untuk mengubah peraturan dan mencegah serangan terhadap kitab suci umat Islam," menurut laporan itu lagi.
Beberapa bulan kebelakangan ini telah menyaksikan perbuatan membakar dan mencemarkan al-Quran berulang kali oleh tokoh atau kumpulan Islamofobia, terutamanya di negara Eropah utara dan Nordik.
-- BERNAMA