Kerajaan Sweden isytihar pandemik berakhir, walau dibantah saintis

Agensi
Februari 10, 2022 12:30 MYT
Orang ramai sudah mula mendatangi kawasan bar terbuka di Stockholm untuk bersantai semenjak beberapa bulan lalu. - Reuters
STOCKHOLM: Sweden menghentikan hampir kesemua sekatan apandemik pada Rabu dan tidak lagi menjalankan ujian saringan untuk COVID-19, walaupun tekanan ke atas sistem penjagaan kesihatan masih tinggi dan kumpulan saintis merayu lebih banyak masa diberikan untuk benar-benar melawan virus itu.
Kerajaan Sweden, yang sepanjang pandemik menolak tindakan sekatan pergerakan dan memilih pendekatan sukarela, minggu lalu mengumumkan bahawa baki larangan yang ada kini ditarik semula.
Keputusan itu secara langsung adalah perisytiharan bahawa pandemik telah berakhir, memandangkan faktor vaksinasi dan Omicron yang kurang memberi ancaman telah mengurangkan bilangan kes dan kematian.
“Seperti yang kita ketahui, pandemik ini, saya kata ia telah berakhir.
“Ia bukan berakhir keseluruhannya, namun dalam erti kata perubahan dan sekatan (yang telah dilakukan), ia sudah berakhir,” kata Menteri Kesihatan Lena Hallengren, sambil menambah bahawa COVID-19 bukan lagi ancaman berbahaya dalam masyarakat.
Sehingga Rabu, bar dan restoran kembali dibenarkan beroperasi melepasi jam 11 malam, dengan tiada had pelanggan. Had bilangan kehadiran di kawasan tertutup yang lebih besar juga ditarik balik, sama sperti pas vaksin.
Hospital-hospital di Sweden masih berdepan kecemasan, dengan 2,200 pesakit COVID memerlukan penjagaan rapi, iaitu jumlah yang lebih kurang sama sewaktu negara itu berada dalam gelombang ketiga musim bunga 2021 lalu.
Ujian pengesanan percuma pula telah dikurangkan bulan ini dan secara efektif dihentikan pada Rabu (9 Februari), maka secara tidak langsung membuatkan tiada pihak yang tahu jumlah kes sebenar.
"Kita patutnya bersabar lagi, tunggu sekurang-kurangnya beberapa minggu lagi. Negara kita masih berkemampuan untuk terus membuat ujian.
"Penyakit ini masih besar kesannya dalam masyarakat,” ujar profesor virologi di Umea University, Fredrik Elgh, yang juga pengkritik utama langkah menolak sekatan.
#Sweden #pandemik #sekatan pergerakan #kesihatan
;