Kerajaan perlu kurangkan subsidi kepada golongan kaya sebelum perkenal semula GST - PM Anwar
Bernama
September 13, 2023 20:01 MYT
September 13, 2023 20:01 MYT
SINGAPURA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu mengurangkan subsidi kepada golongan kaya sebelum memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Semasa temu bual bersama Haslinda Amin daripada Bloomberg di Sidang Kemuncak Asia ke-10 Milken Institute, Anwar mengakui bahawa GST adalah sistem cukai yang paling cekap dan telus.
"Bila kita laksanakannya? Ia bergantung pada ambang. Apabila rakyat hidup dalam kemiskinan yang teruk, anda perlu memperkenalkan dasar cukai progresif, tetapi bukan dasar asas meluas yang memberi kesan kepada golongan sangat miskin.
"Jadi, anda perlu beri sedikit masa, namun adakah anda langsung tidak melakukan apa-apa? Tidak. Anda perlu meluaskan asas cukai, sudah tentunya.Tetapi anda perlu terlebih dahulu mengurangkan subsidi kepada orang kaya," katanya.
Beliau berkata rasionalisasi subsidi tidak akan menjadi keputusan popular tetapi kerajaan ada masa empat tahun sebelum pilihan raya akan datang.