Kerajaan Perancis dijangka tumbang akhir minggu ini
Agensi
Disember 2, 2024 07:15 MYT
Disember 2, 2024 07:15 MYT
PARIS: Kerajaan Perancis hampir pasti akan tumbang akhir minggu ini selepas parti sayap kanan dan kiri mengemukakan usul tidak percaya pada semalam (Isnin) terhadap Perdana Menteri Michel Barnier.
Pelabur turut memperlihatkan rasa kurang senang ke atas pelaburan di Perancis apabila perkembangan terbaharu itu menjerumuskan ekonomi negara kedua terbesar zon euro itu menjurus ke krisis politik yang membimbangkan dengan keraguan serius mengenai sama ada bajet tahunan akan diluluskan.
"Cukup-cukuplah… rakyat Perancis sudah tidak boleh menerimanya lagi,” kata pemimpin National Rally (RN), Marine Le Pen kepada pemberita di Parlimen.
Kata Le Pen, Barnier yang menjadi Perdana Menteri pada awal September lalu telah memburukkan keadaan dan perlu ditolak.
"Kami mencadangkan usul tidak percaya terhadap kerajaan," katanya.
Tanpa kejutan pada saat-saat akhir, pakatan rapuh Barnier akan menjadi kerajaan Perancis pertama yang dipaksa keluar melalui undi tidak percaya sejak 1962.
Kejatuhan kerajaan akan meninggalkan kelompangan di tengah-tengah Eropah, dengan Jerman juga dalam mod pilihan raya, beberapa minggu sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kembali semula ke White House.
Ahli parlimen RN dan gabungan kiri mempunyai undi yang mencukupi untuk menjatuhkan Barnier dan Le Pen mengesahkan partinya akan mengundi rang undang-undang tidak percaya gabungan berhaluan kiri selain rang undang-undang RN sendiri.
Undian itu mungkin diadakan pada Rabu ini.
Parti-parti itu mengumumkan usul tidak percaya mereka selepas Barnier memaklumkan pada Isnin beliau akan cuba membentangkan rang undang-undang keselamatan sosial melalui Parlimen tanpa undi kerana konsesi saat-saat akhir terbukti tidak mencukupi untuk memenangi sokongan RN terhadap undang-undang itu.
"Berdepan dengan penafian demokrasi yang kesekian kali ini, kami akan mengecam kerajaan," kata Mathilde Panot dari sayap kiri France Unbowed.
"Kami hidup dalam kekacauan politik disebabkan oleh kerajaan Michel Barnier dan Presiden Emmanuel Macron."
Sejak Macron mengadakan pilihan raya mengejut pada awal Jun lalu, pasaran saham Perancis menurun hampir 10 peratus dan merupakan penurunan paling teruk dalam kalangan ekonomi tertinggi Kesatuan Eropah (EU).
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri Barnier menggesa Ahli-Ahli Parlimen supaya tidak menyokong undi tidak percaya yang dikemukakan itu.
"Kami berada pada kedudukan yang benar ... Perancis tidak akan memaafkan kami hanya kerana mendahulukan kepentingan individu berbanding masa depan negara," katanya sambil meletakkan nasib kerajaannya di tangan Parlimen yang berpecah itu hasil pilihan raya mengejut Macron yang tidak konklusif pada Jun lalu.
Kerajaan minoriti Barnier telah bergantung pada sokongan RN untuk kelangsungannya.
Rang undang-undang bajet, yang bertujuan untuk mengekang defisit awam Perancis yang semakin meningkat melalui 60 bilion euro (AS$63 bilion) susulan kenaikan cukai dan pemotongan perbelanjaan.
Sehubungan itu juga, kem Barnier dan Le Pen masing-masing menyalahkan satu sama lain dan mendakwa, mereka telah melakukan semua yang mampu dilakukan untuk mencapai kesepakatan dan sedia untuk mengadakan dialog.
Sumber yang rapat dengan Barnier berkata, Perdana Menteri telah menawarkan konsesi yang besar kepada Le Pen dan pengundian untuk menjatuhkan kerajaan bermakna kehilangan keuntungan tersebut.
Sekiranya undi tidak percaya itu benar-benar berlaku, Barnier perlu meletakkan jawatannya, namun, Macron berkemungkinan meminta Barnier dan kerajaannya untuk kekal buat sementara untuk mengendalikan pentadbiran sementara beliau mencari Perdana Menteri baharu, yang hanya boleh berlaku pada 2025.
Namun begitu, pilihan lain yang ada pada Macron ialah menamakan kerajaan teknokrat dengan harapan ia berupaya membantu bertahan dalam undi tidak percaya.
Dalam apa sahaja situasi sekalipun, pilihan raya Parlimen mengejut yang baharu tidak boleh diadakan sebelum Julai tahun depan.
Sementara berhubung bajet berkenaan pula, jika Parlimen tidak meluluskannya menjelang 20 Disember, kerajaan sementara boleh menggunakan kuasa Perlembagaan untuk meluluskannya melalui ordinan.
Bagaimanapun, itu hanya akan mengundang risiko kerana terdapat kekaburan berhubung undang-undang tentang sama ada kerajaan sementara boleh menggunakan kuasa tersebut.
Situasi itu juga pasti akan mencetuskan kekecohan dalam kalangan blok pembangkang.
Kemungkinan lain yang boleh berlaku ialah kerajaan sementara mencadangkan undang-undang kecemasan khas untuk mengubah had perbelanjaan dan peruntukan cukai mulai tahun ini.
Tindakan itu, bagaimanapun, bermakna, langkah penjimatan yang dirancang oleh Barnier akan gagal. - Agensi