Kerajaan negeri Assam di India haramkan operasi madrasah

Agensi
Disember 31, 2020 17:52 MYT
Assam, yang dikuasai parti nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi (gambar), lulus undang-undang haram madrasah. - REUTERS/Adnan Abidi
GUWAHATI: Negeri Assam di India yang dikuasai parti nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, pada Rabu meluluskan undang-undang untuk mengharamkan semua sekolah berunsur Islam atau madrasah.
Ia dibuat atas alasan pendidikan di sekolah Islam terbabit didakwa tidak menyeluruh dan tidak mencapai tahap yang diinginkan kerajaan.
Parti pembangkang bagaimanapun mengkritik tindakan itu dan mendakwa ia mencerminkan sikap kerajaan yang anti Islam.
Lebih 700 buah sekolah madrasah di Assam yang terletak di timur laut India, akan ditutup menjelang April, kata Menteri Pendidikan, Himanta Biswa Sarma.
"Kami memerlukan lebih banyak doktor, pegawai polis, birokrat, dan guru yang lahir dari masyarakat Islam, dan bukan imam untuk masjid.
"Kerajaan akan menukarkan madrasah menjadi sekolah biasa kerana pendidikan yang diberikan di madrasah tidak memenuhi kehendak dan keperluan semasa," kata Sarma yang merupakan anggota parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi.
Ahli politik pembangkang mengatakan bahawa tindakan itu adalah serangan terhadap umat Islam.
"Ideanya adalah untuk menghapuskan umat Islam," kata Wajed Ali Choudhury, ahli Parlimen dari parti Kongres.
Terdahulu, lebih 100 penjawat awam dan diplomat kanan yang sudah bersara, menggesa BJP yang kini memerintah negeri terbesar di India, Uttar Pradesh, untuk memansuhkan undang-undang baharu yang mengklasifikasikan penukaran agama secara paksa dalam kalangan pengantin sebagai jenayah, yang dilihat sebagai tindakan yang disasarkan kepada umat Islam.
#India #Narendra Modi #Islam #Perdana Menteri #politik #pembangkang #madrasah #sekolah Islam #Assam
;