Kerajaan Myanmar akan menghormati keputusan pilihan raya - Menteri Penerangan
Agensi
November 11, 2015 19:47 MYT
November 11, 2015 19:47 MYT
Menteri Penerangan Myanmar berkata kerajaan negara itu akan mematuhi apa sahaja keputusan pilihan raya negara itu yang baru berlangsung hujung minggu lalu dan berjanji untuk memastikan peralihan kuasa berlangsung dengan aman.
Kenyataan dikeluarkan ketika parti pembangkang terbesar negara itu, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan pejuang demokrasi, Aung San Suu Kyii hampir pasti bakal mencatatkan kemenangan besar.
“Kami akan menghormati dan mematuhi keputusan yang dibuat pengundi,” kata Ye Htut dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.
“Kami akan memastikan peralihan kuasa yang aman kepada parti pimpinan Suu Kyi,” kata kenyataan itu lagi.
Sementara itu badan rasmi pilihan raya Myanmar hari ini mengumumkan, pemimpin parti NLD, Aung San Suu Kyi memenangi kerusi yang ditandingnya di Kawhmu, Yangon dengan meraih 54,676 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya Myanmar juga mengumumkan pada Rabu, bahawa seramai 61 calon memenangi kerusi Dewan Rakyat yang ditandingi mereka, di mana 56 daripadanya dimenangi NLD.
Tiga hari selepas pilihan raya bersejarah di Myanmar diadakan, namun keputusan penuh belum dapat diumumkan.
Bagaimanapun, keputusan semasa menunjukkan bahawa parti pembangkang pimpinan Suu Kyi menang besar, mengalahkan parti pemerintah yang disokong tentera.
Sejumlah 30 juta warga Myanmar menunaikan tanggungjawab dalam pilihan raya umum negara itu pada Ahad, satu proses yang disifatkan langkah signifikan ke arah demokrasi.
Pilihan raya ini adalah pilihan raya terbuka yang pertama dalam tempoh 25 tahun, selepas pemerintahan junta sejak berdekad lamanya.